Nokia 7 Plus, Untuk Mereka Yang Mahukan Pengalaman Android Sebenar

Nokia menerusi HMD Global telah memperkenalkan beberapa telefon pintar mereka semasa MWC 2018 di Barcelona. Antara peranti yang dilancarkan adalah peranti kelas pertengahan, Nokia 7 Plus yang diletakkan di bawah program Android One. Sebilangan besar pembaca sudah pasti mengetahui projek Android One yang membolehkan sistem operasi Android asli digunakan oleh peranti yang dibuat oleh pengeluar-pengeluar bukan Google.

Kami berkesempatan mencuba sendiri peranti Nokia 7 Plus dan merasai pengalaman menggunakan telefon pintar ini. Berikut merupakan pandangan kami terhadap peranti ini.

Binaan & Rekaan - 8/10



Untuk faktor binaan peranti, Nokia tidak mengambil jalan mudah dalam menghasilkan satu peranti yang kuat dan pada masa yang sama kelihatan menarik di tangan. Nokia mengatakan mereka menggunakan siri aluminium 6000 dan satu peranti dihasilkan daripada satu blok aluminium.

Bagi kami, rupa keseluruhan peranti nampak kemas dengan rekaan dua tona warna; hitam dan tembaga menampilkan rekaan klasik dan eksklusif. Ianya seumpama gadis british memetik teh di Cameron Highland dengan bertopi besar dihiasi sejambak bunga. Peranti ini mempunyai sedikit benjolan kamera utama di bahagian belakang peranti. Namun kami lihat ianya dipasangkan dengan kemas bersama jejalur keemasan tembaga, bukan sekadar tampalan biasa. Binaan yang sangat teliti.



Skrin Paparan - 6.5/10



Nokia 7 Plus menampilkan skrin paparan IPS LCD bersaiz 6 inci yang menghasilkan paparan HD+ penuh dengan resolusi 2160 x 1080. Nisbah skrin dengan badan peranti pula adalah 18:9 dan Nokia menggunakan bahan Corning® Gorilla® Glass 3 bagi memberikan ketahanan skrin dari hentakan.

Paparan yang dihasilkan oleh peranti ini bagi kami cukup cantik dan pengalaman menonton video menggunakan skrin ini adalah memuaskan. Pembesar suara tunggal yang terletak di bawah peranti memberikan kesan audio yang bagi kami sudah mencukupi.

Antaramuka (UI) - 7/10



Nokia 7 Plus menggayakan antaramuka dari Google yang secara asasnya adalah sistem operasi Android. Kelebihan besar antaramuka ini, atau digelar stock android, adalah sistem operasi yang lebih ringan tanpa mekap tebal.

Malah Nokia sendiri tidak langsung menyertakan aplikasi tambahan mereka untuk peranti ini selain aplikasi kamera Nokia dan isyarat tambahan seperti swipe di pengimbas cap jari untuk membuka talam notifikasi.

Maka dengan tiadanya bloatware, ianya meringankan beban keseluruhan kepada sistem operasi terutamanya pengurusan RAM supaya beroperasi dengan lebih lancar.



Prestasi Kamera - 7.6/10



Nokia 7 Plus ini menggunakan tetapan dwi-kamera (12 MP f/1.8 +13 MP f/2.6) dari ZEISS yang sinonim dengan jenama Nokia manakala disesuaikan dbersama kamera swafoto dengan lensa 16 MP.

Hasil gambar yang dihasilkan oleh Nokia 7 Plus untuk situasi cahaya terang boleh dikatakan sangat baik. Penghasilan imej yang tajam dan dynamic range yang jelas.





Kapsyen: Close-up


Kapsyen: Subjek tumbuhan hijau


Kapsyen: Subjek bendera


Melalui sistem dwi-kamera telefoto, lensa keduanya mampu untuk zoom sebanyak 2X seperti yang kita dapat lihat pada iPhone X. Fungsi telefotonya pada kami adalah sederhana, peranti ini sedikit bergelut untuk mengekalkan kualiti imej yang dihasilkan walaupun dibantu dengan penstabilan imej elektronik (EIS).

Kapsyen: Tanpa Zoom


Kapsyen: Dengan 2X Zoom


Untuk penggambaran malam, jelas kelihatan 'noise' yang mencacatkan kualiti gambar yang diambil. Oleh itu, hasil gambar malam yang dihasilkan oleh Nokia 7 Plus ini boleh dikategorikan sebagai biasa.

 

Kapsyen: Gambar malam




Aplikasi kamera Nokia juga tidak jauh bezanya dengan aplikasi Google Camera. Ianya dilihat sangat mesra pengguna. Apa yang kami suka adalah bagaimana mereka mengembalikan rekaan fungsi Pro Mode yang mirip peranti Lumia.



Untuk kamera swafoto, hasil gambar oleh peranti ini agak memuaskan dengan tona warna yang tepat dan pencahayaan yang mencukupi. Fungsi 'Live Bokeh' turut disertakan Nokia ke dalam Nokia 7 Plus bagi memberikan pengguna lebih banyak pilihan semasa berswafoto.

 

Kapsyen: Live bokeh kamera swafoto


Nokia 7 Plus juga menampilkan fungsi 'bothie', satu fungsi eksklusif dari Nokia yang membenarkan kamera hadapan dan belakang digunakan serentak untuk mengambil gambar dan juga video.

Kapsyen: ciri bothie


Lensa Nokia 7 Plus dilengkapi penstabilan digital dan hasilnya agak memuaskan. Untuk rakaman audio, peranti ini dibantu dengan OZO Audio yang menggabungkan 3 mikrofon dan berkebolehan merakam audio sekeliling dengan lebih jelas.



Dengan ciri bothie dan OZZO audio, ianya dilihat sangat sesuai pada yang gemar ber-vlogging. Malah melalui aplikasi kamera Nokia, pengguna boleh merakam video secara langsung terus melalui aplikasi kameranya tanpa perlu membuka aplikasi ke-tiga. Namun, hanya terdapat dua aplikasi media sosial diimplementasi untuk ciri ini iaitu Facebook dan Youtube.

Spesifikasi Lain

Nokia 7 Plus menampilkan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 660. Cip ini dikategorikan sebagai cip kelas pertengahan terbaik sebelum Qualcomm mengeluarkan SD 710.

Ruang RAM yang ditawarkan adalah sebesar 4GB dan juga ruang storan ROM sebesar 64GB. Peranti ini menyokong fungsi storan tambahan melalui microSD sehingga 256GB. Slot kad SIM hybrid (1+1) disediakan untuk pengguna peranti termasuk pengimbas cap jari yang diletakkan di bahagian belakang peranti. Nokia 7 Plus hanya mempunyai sistem nyahkunci menggunakan cap jari dan bagi kami ia berfungsi dengan pantas.

Pendapat akhir-7.8/10

Nokia 7 Plus merupakan peranti Nokia yang terbaik dalam kelasnya dan dengan program Android One, peranti ini dapat memberikan pengalaman Android yang sebenar dalam pakej keseluruhan yang baik. Untuk mereka yang di luar sana yang lebih-lebih lagi pengguna iOS, Nokia 7 Plus boleh menjadi platfom pertama Android untuk dicuba dalam memberikan pengalaman pengguan yang baik tanpa perlu berbelanja besar.

Ianya dijual pada harga RM1,699 dan anda boleh dapatkan dengan potongan harga RM200, iaitu pada RM1,499 di lazada.