Setiap syarikat pasti mempunyai logo dan namanya yang tersendiri. Bila terlihat logo robot berwarna hijau kecil seperti dibawah, automatik perkataan “Android” akan terpacul didalam kepala.
Apa nama panggilan untuk maskot Android ini?
Bagi anda yang ingin tahu, secara teknikalnya ia tidak mempunyai nama rasmi. Suatu ketika, nama panggilan Andy the Android Robot kerap kali disebut dan ia dikaitkan dengan nama pengasas sistem operasi tersebut, Andy Rubin.
Namun begitu, kumpulan pembangun Android di Google memanggilnya sebagai Bugdroid dan sehingga kini, nama itu digunakan bagi merujuk kepada robot hijau tersebut.
Sebelum Bugdroid terdapat logo lain, Dandroids.
Sebelum terciptanya Bugdroid, terdapat logo empat robot yang berlainan warna, dipanggil Dandroids. Ia merupakan hasil rekaan ketua kumpulan pembangun, Dan Morills yang ditayangkan kepada pembangun lain sewaktu sesi pembentangan.
Ia tidak dipertontonkan kepada umum dan hanya popular dalam kalangan pembangun sistem operasi mudah alih itu sahaja.
Siapa yang mencipta Bugdroid?
Berbalik kepada Bugdroid, Irina Blok, seorang pereka di Google, telah diberi tanggungjawab untuk menghasilkan logo bagi Android yang perlu mempunyai imej robot.
Difahamkan Blok mendapat ilham mereka bentuk Bugdroid, diinspirasikan dari simbol jantina yang terdapat pada pintu tandas.
Oleh kerana Google tidak membuat sebarang pemilikan atau menyekat penggunaan logo ini, ia telah diubah suai dengan pelbagai karakter secara meluas diseluruh dunia, bersesuaian dengan sistem operasi Android itu sendiri yang berasaskan sistem sumber terbuka.
Sumber: Irina Blok, Digital Trends, TechSpot