Berita baik, pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu memaparkan lesen kenderaan atau pelekat cukai jalan (roadtax) bermula hari ini, umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Kementerian kini dalam usaha untuk mendigitalisasikan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan lesen memandu dan lesen kenderaan.
Oleh itu, rakyat Malaysia boleh mendaftar akaun di public.jpj.gov.my dan aplikasi myJPJ memandangkan lesen memandu dan lesen kenderaan akan tersedia secara digital di platform-platform itu.
- Muat turun MyJPJ di Apple App Store
- Muat turun MyJPJ di Google Play Store
- Muat turun MyJPJ di Huawei AppGallery
Ikut langkah INI untuk ketahui lebih terperinci cara menyemak lesen dan cukai jalan di MyJPJ.
Jadi, lesen dan cukai jalan anda dapat ditunjukkan daripada aplikasi ini. Malah, kod QR juga akan tersedia untuk diimbas penguat kuasa.
Takut tiada rangkaian? Anda boleh menangkap layar (screenshot) lesen digital (memandu dan kenderaan) untuk ditunjukkan pada pegawai. Jika tiada, maka pegawai akan menyemak sendiri maklumat anda, juga secara dalam talian.
Katakanlah anda menggunakan kenderaan milik orang lain, maka minta mereka hantar tangkap layar lesen kenderaan.
Misalnya, minta bapa anda kongsikan tangkap layar dalam kumpulan WhatsApp keluarga, jadi sesiapa yang memandu kereta beliau boleh tunjukkan pada penguat kuasa dengan mudah.
Semasa artikel ini ditulis, laman web dan aplikasi JPJ mengalami masalah untuk diakses. Ia mungkin berpunca daripada trafik tinggi selepas pengumuman ini.
Bagi anda yang kurang bersedia atau khuatir, masih mahu menggunakan pelekat cukai jalan dan kad lesen memandu fizikal, jangan risau kerana anda boleh terus menggunakannya.
Kata Menteri, undang-undang yang mewajibkan lesen kenderaan ditampal atau ditunjukkan pada kenderaan tidak lagi berkuat kuasa.
{suggest}
Pendigitalisasian ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan fasa pertama melibatkan kenderaan peribadi termasuk motosikal yang dimiliki rakyat Malaysia.
Anda boleh tonton video penuh sidang media berkenaan lesen digital ini melalui video di bawah yang mana Menteri turut menjawab pelbagai soalan lain berkenaannya. Anda juga mungkin ada soalan yang sama.
Selepas ini, kenderaan perdagangan termasuklah e-hailing juga akan disertakan dalam digitalisasi ini. Buat masa ini, road tax kenderaan selain persendirian dan pemilik bukan rakyat Malaysia masih perlu dipamerkan secara fizikal.