Ini Perbezaan NFC Dan RFID Yang Mungkin Ramai Tidak Tahu

Kalau sebut saja RFID, pasti ramai warga tempatan terus terbayang plaza tol kerana istilah ini menjadi terkenal pada orang awam disebabkan pengenalan tag RFID oleh Touch 'N Go.

Namun, ia bukanlah nama khas untuk produk tersebut kerana RFID sebenarnya akronim kepada sebuah teknologi dalam bidang elektrik dan elektronik.

NFC pula pastinya sudah lama didengari sejak bertahun dulu dengan pengenalan fungsi ini pada telefon pintar. Ia sekali lagi popular dengan kad dinaik taraf yang baru dilancarkan TNG beberapa minggu lalu.

Apa maksud perkataan NFC dan RFID?


NFC bermaksud Near Field Communication manakala RFID pula Radio Frequency Identification.

Apa kaitan kedua-dua ini?


Sebenarnya, NFC ialah satu teknologi di bawah cabang RFID kerana menggunakan protokol RFID. RFID dipatenkan pada 1980-an manakala NFC pula pada 2002.

Seperti anda tahu, kedua-dua ialah teknologi tanpa wayar (wireless).

RFID


Untuk pengoperasiannya, ia memerlukan tiga komponen - tag, pengimbas (reader) dan antena. Ia dimulakan dengan pengimbas menghantar isyarat terhadap tag melalui antena.

Basic-RFID-Systen Kapsyen: Sumber: TT Electonics


Tag RFID ini pula terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Aktif - ada sumber kuasa sendiri, jarak liputannya lebih luas.

  • Pasif - tiada sumber kuasa, ia dikuasakan oleh tenaga elektromagnetik yang dipancarkan pengimbas. Jarak liputannya tidak sejauh tag aktif.


Untuk storan data, ia hanya menyokong sekitar 2KB sahaja.

RFID menyokong gelombang seperti berikut:

  • Frekuensi rendah (125 kHz -134 kHz)

  • Frekuensi tinggi (13.56 MHz)

  • Frekuensi ultra tinggi (856 MHz - 960 MHz


Untuk RFID Touch 'N Go yang dilaksanakan di plaza tol Malaysia, ia jatuh dalam kategori tag pasif.

NFC


NFC pula lebih ringkas dari segi komponennya kerana hanya perlu dua alat iaitu pengimbas dan objek sasaran (tag, pelekat dan lain-lain).

Objek diimbas seperti tag, pelekat NFC juga terbahagi pada dua jenis:

  • Aktif - Sokong hubungan dua hala di mana pemindahan data boleh berlaku seperti antara telefon.

  • Pasif - Sokong hubungan satu hala di mana tag, pelekatnya hanya sekadar pembawa data tapi tidak boleh membaca data dari pada peranti lain.


NFC reader chip can be used in three different modes Kapsyen: Sumber: STMicroelectronics


Peranti NFC mampu membawa data bersaiz antara 96-8KB.

Antara kemajuan pada NFC ialah ia tidak memerlukan antena kerana peranti boleh bertindak sebagai kedua-dua pengimbas dan yang diimbas.

Selain itu, kelebihan NFC ialah mod peer-to-peer yang membolehkan pemindahan boleh berlaku antara dua peranti hanya dengan sentuhan.

Ia menggunakan frekuensi 13.56Mhz iaitu dalam kategori ultra tinggi RFID, maka jaraknya liputannya lebih rendah, sekitar 10cm.

Perbezaan NFC dan RFID?



  • Jarak - RFID menyokong frekuensi rendah jadi jarak liputannya lebih tinggi daripada NFC.

  • Komunikasi - NFC sokong hubungan dua hala dan pemindahan data tetapi RFID hanya satu hala.

  • Bilangan - RFID boleh membaca banyak tag dalam satu masa, berbeza dengan NFC yang terhad satu peranti.

  • Data - NFC boleh bawa dan pancar data yang pelbagai dan lebih besar daripada RFID.

  • Kos - Kos NFC lebih rendah berbanding RFID.


RFID vs. NFC Kapsyen: Sumber: Samsung


Disebabkan jaraknya yang dekat, NFC selalunya digunakan untuk pembayaran atau berkaitan akses keselamatan seperti kad debit/kredit manakala RFID pula untuk mengesan lokasi dan pergerakan objek seperti dalam gudang atau kilang.

Kesimpulan


Kedua-dua ini lazimnya digunakan untuk bidang berlainan atas sebab kekuatan tersendiri.

Sukar untuk katakan satunya lebih baik daripada yang lain kerana mempunyai fungsi yang berbeza.

nfc rfid Kapsyen: Sumber: Ecom


RFID terkenal digunakan tujuan identifikasi seperti alam sektor perkilangan di mana untuk menjejak barang dan pengurusan inventori selain penggunaan tol, perlumbaan dan lain-lain.

Walaupun perlahan tapi jarak liputannya jauh dan mampu mengimbas banyak objek sekaligus.

NFC pula selalunya digunakan untuk tujuan komunikasi dan berkaitan keselamatan seperti kad akses, perkongsian maklumat ringkas seperti nombor telefon, pembayaran (payWave, PayPass) dan sebagainya.

Kedua-dua teknologi ini telah banyak memudahkan kehidupan disebabkan ciri tanpa wayar dan tanpa sentuh dibawanya (contactless).

Baca juga:

Berkaitan