MSI kembali ke COMPUTEX 2025 dengan barisan produk baharu yang menarik perhatian peminat PC. Tahun ini, mereka memberi tumpuan kepada keupayaan kecerdasan buatan (AI), reka bentuk DIY yang mesra pengguna, dan penampilan unik yang memenuhi cita rasa estetik pembina moden.
Keupayaan AI Yang Makin Serius
Salah satu tumpuan utama adalah demonstrasi sistem yang menggunakan pemproses AMD Ryzen 9 9950X3D, kad grafik RTX 5090, dan memori DDR5 sehingga 256GB, dipadankan dengan papan induk MEG X870E GODLIKE.
Sistem ini mampu menjalankan model bahasa berskala besar seperti Deepseek R1 70B secara terus dari komputer, tanpa memerlukan sambungan awan. Ini menunjukkan potensi besar komputer peribadi dalam pemprosesan AI edge computing.
Selain itu, MSI memperkenalkan AI Robot, pembantu digital yang boleh mengawal fungsi MSI Center melalui arahan bahasa biasa. Pengguna boleh meminta AI Robot untuk tugasan seperti merekod mesyuarat dan menyediakan ringkasan, menjadikan ia lebih praktikal dalam rutin harian.
Dengan teknologi “agentic AI”, pembantu ini juga boleh mengurus tugasan kompleks tanpa bantuan manusia secara berterusan.
MIA, Pembantu Maya Dengan Avatar 3D
MSI turut memperkenalkan DigiME dengan MIA (MSI Intelligent Assistant), iaitu pembantu maya berasaskan model bahasa raya (LLM) yang memahami konteks dan memberikan respons suara masa nyata.
Apa yang membezakannya ialah kehadiran avatar 3D interaktif, menjadikan interaksi lebih hidup dan peribadi. MIA direka bukan sahaja sebagai pembantu teknikal, tetapi juga sebagai teman digital yang memahami keperluan pengguna dalam pelbagai situasi.
Barisan Papan Induk Baharu
MSI membawa beberapa model papan induk terkini untuk pelbagai jenis pengguna:
- MEG X870E ACE – model ATX premium dengan reka bentuk hitam emas, sistem penyejukan berprestasi tinggi, dan sokongan sambungan seperti Wi-Fi 7, 10G LAN, dan USB 40Gbps.
- MPG X870I EDGE TI WIFI dan B850I EDGE TI WIFI – untuk mereka yang membina sistem bersaiz kecil, papan induk Mini-ITX dengan sambungan lengkap termasuk 5G LAN dan sokongan M.2 Gen 5.
- MAG X870E TOMAHAWK WIFI PZ – papan induk pertama siri MAG dengan reka bentuk back-connect, memudahkan pengurusan kabel untuk kemasan lebih kemas.
- B850MPOWER – untuk penggemar overclocking, model M-ATX ini menawarkan dua slot RAM dan EZ Dashboard yang memudahkan pengujian dan pelarasan sistem.
Satu lagi ciri menarik ialah rekaan “PinSafe” yang direka untuk mengelakkan kecederaan akibat pin tajam di belakang papan induk semasa pemasangan, sesuatu yang praktikal bagi pengguna DIY.
Casing Dengan Reka Bentuk Lebih Terbuka dan Estetik
MSI turut memperkenalkan casing baharu yang menekankan keindahan visual dan kemudahan susun atur:
- MEG MAESTRO 900 Series – casing bersaiz penuh dengan tiga panel kaca dan ruang dalaman boleh laras yang juga boleh dijadikan ‘test bench’.
- MAG PANO 130R PZ – casing kompak dengan rekaan panorama yang membolehkan komponen dalaman dilihat dari pelbagai sudut.
- MAG VISION LITE 12 – skrin tambahan bersaiz 12.3 inci yang boleh dipasang dalam casing, sesuai untuk pemantauan sistem atau sebagai paparan kedua.
Sistem Penyejukan Cecair Generasi Baharu
Dua siri baharu penyejuk cecair (liquid cooler) turut diperkenalkan:
- MEG CORELIQUID E13 – hadir dengan paparan LCD 6 inci untuk pemantauan sistem dan sokongan paparan tersuai.
- MPG CORELIQUID P13 – reka bentuk berinspirasikan bentuk titisan air dengan paparan LCD tersembunyi di bawah panel kaca.
Kedua-duanya menampilkan pemasangan yang lebih fleksibel dan pengurusan kabel yang lebih kemas.
Bekalan Kuasa (PSU) Berprestasi Tinggi
MSI juga menampilkan siri PSU baharu MAG A1000GLS PCIE5, dengan reka bentuk senyap dan cekap, serta sokongan untuk piawaian ATX 3.1.
Unit ini boleh menampung lonjakan kuasa sehingga 220%, dan tersedia dalam pelbagai watt termasuk versi putih untuk mereka yang mahukan binaan bertema putih.
Edisi Khas Bertemakan IRONMOUSE
Dalam kerjasama eksklusif dengan VTuber terkenal IRONMOUSE, MSI memperkenalkan satu set lengkap komponen PC bertema “Demon Queen”,lengkap dengan warna pink, ungu dan motif hati.
Antara yang ditawarkan termasuk papan induk MPG X870E EDGE TI WIFI edisi khas, skrin QD-OLED MPG 321URXW, penyejuk cecair MAG CORELIQUID A13 360, dan casing MAG PANO 100R PZ dengan panel bercetak tersuai.
{suggest}