Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

MSI Lancar Siri Monitor PRO MAX – Tampil Panel QD-OLED 4K Dan Sokongan KVM 3-Peranti Khusus Untuk Pengguna Mac

Posted on Mei 29, 2026

MSI telah memperkenalkan siri monitor premium terbaharunya, siri MSI PRO MAX, yang direka khusus sebagai pelengkap ekosistem komputer Mac termasuk MacBook dan Mac Studio.

Mengetuai barisan ini adalah model andalan PRO MAX 271UPXW12G yang hadir dengan kerangka minimalis berwarna putih tulen bagi memadankan estetika perkakasan Apple.

Tarikan utama monitor ini terletak pada integrasi aplikasi eksklusif MSI M-Mate yang memuatkan fungsi M-Sync untuk pelarasan tetapan digital pantas tanpa butang fizikal, serta fungsi M-Color bagi memastikan profil warna kekal konsisten dan tidak lari apabila pengguna menukar paparan daripada skrin komputer riba ke monitor luaran.

Dari segi keupayaan visual, PRO MAX 271UPXW12G dilengkapi panel QD-OLED generasi keempat bersaiz 27 inci dengan resolusi 4K dan ketumpatan piksel mencecah 166 PPI bagi menandingi ketajaman paparan Liquid Retina.

Panel ini turut diselaputi lapisan filem DarkArmor yang mampu menghasilkan tahap kepekatan warna hitam 40% lebih mendalam.

Untuk memenuhi piawaian tinggi pengamal multimedia, monitor ini menerima pengiktirafan Pantone™ Validated dan Pantone SkinTone™ Validated dengan kadaran Delta-E ≤ 2.

Kejituan warna ini diperkukuh oleh teknologi Uniform Luminance untuk mengelakkan turun naik tahap kecerahan skrin, di samping sokongan Dual Gamut Mode untuk pertukaran profi sRGB dan DCI-P3 secara lancar.

Bagi memudahkan produktiviti harian, monitor ini dilengkapi sambungan dwi-port USB Type-C yang menyokong hantaran data, isyarat video 4K, serta sistem pengecasan pantas Power Delivery (PD) sehingga 98W dan 15W menerusi penyelesaian satu kabel tunggal.

Selain itu, MSI turut menyertakan sistem suis KVM 3-Peranti bersepadu yang membolehkan pengguna mengawal sebuah MacBook, Mac Studio, dan iPad secara serentak menggunakan satu set papan kekunci dan tetikus yang sama, dibantu oleh fungsi paparan sebelah-menyebelah (PIP/PBP) serta sensor kecerdasan buatan AI Care Sensor untuk pelarasan kecerahan automatik mengikut pencahayaan persekitaran.

Sebagai alternatif kecekapan kerja dan penjagaan mata, MSI turut memperkenalkan model PRO MAX 271QPHW E14 yang membawakan ekosistem EyesErgo+.

Model ini dilengkapi panel pengutuban bulat (Circular Polarized panel) unik yang meniru pencahayaan semula jadi untuk mengurangkan keletihan mata, sistem penapisan cahaya biru peringkat perkakasan, serta kaki dirikan ergonomik yang boleh dilaraskan sepenuhnya.

Varian ini menawarkan resolusi QHD dengan kadar segar semula 144Hz, ketepatan warna Delta E ≤ 2, sokongan suis KVM terbina, serta keupayaan pengecasan USB Type-C 65W yang turut dihubungkan menerusi perisian M-Mate untuk keserasian penuh ekosistem macOS.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress