MKN Memberi Penjelasan Berhubung Isu Imbas MySejahtera Di Stesen Minyak

Berikutan terdapat kekeliruan berhubung SOP di stesen minyak sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Dato' SriĀ Ismail Sabri Yaakob hari ini telah memperincikan SOP di stesen minyak.

Menurutnya, imbasan aplikasi MySejahtera atau secara manual perlu dilakukan bagi individu yang membuat pembayaran atau transaksi di dalam kedai stesen minyak termasuk pembayaran petrol, diesel, barangan atau mengeluarkan duit di ATM.



Pengguna juga perlu mengimbas aplikasi MySejahtera apabila menggunakan surau atau tandas di stesen minyak.

Bagaimanapun, tiada keperluan untuk mengimbas aplikasi MySejahtera jika hanya berada di pam minyak dan membayar menggunakan transaksi aplikasi dalam talian, kad kredit atau debit tanpa bantuan pekerja stesen minyak.



Sebagai tambahan, transaksi dan pembayaran melalui tingkap tanpa masuk ke kedai stesen minyak juga tiada keperluan untuk mengimbas aplikasi MySejahtera.

Dalam erti kata lain, tiada keperluan untuk mengimbas aplikasi MySejahtera jika tidak masuk ke kedai stesen minyak atau tiada kontak dan pertemuan dengan individu lain.

Akan tetapi, imbasan kod QR aplikasi MySejahtera perlu dilakukan jika berada di kawasan stesen minyak yang mempunyai kontak dengan individu lain seperti yang dinyatakan.

MKN turut menjelaskan untuk merujuk laman sesawang KPDNHEP jika terdapat kekeliruan berhubung penjelasan yang diberikan.