Lima Produk Gagal Daripada Syarikat Teknologi Terkemuka Dunia

Dalam menghasilkan sesebuah produk teknologi baru, kegagalan adalah sebuah perkara yang wajib ditempuhi oleh sesebuah syarikat pembangun. Kegagalan inilah yang akan mengajar mereka untuk lebih berusaha dan berhati-hati dalam setiap tindakan mereka di masa akan datang.

Malah, perkara ini tidak terkecuali bagi syarikat-syarikat teknologi gergasi dunia sekalipun. Dalam proses membangunkan sesebuah produk, kegagalan lebih dari sekali itu adalah perkara yang normal sebelum mereka dapat menghasilkan produk akhir yang paling sempurna.

Tapi, bagaimana pula sekiranya kegagalan itu dihadapi selepas produk dapat disempurnakan? Sudah pasti keperitan itu lebih dirasai oleh pengeluar. Jadi, pada kali ini, kami akan menyenaraikan lima produk keluaran syarikat teknologi terkemuka dunia yang telah gagal menambat hati pengguna setelah dilancarkan.

Google Glass



Peranti ini telah menjadi bualan penggiat dan pemerhati industri apabila mula diperkenalkan menerusi program Explorer pada tahun 2013 yang lalu. Dijual pada harga $1,500(~RM 6,110) semasa dilancarkan, produk ini ternyata gagal mencapai standard yang ditetapkan kepadanya.

Diperkenalkan dengan tujuan membawa revolusi kepada dunia perkomputeran, produk ini akhirnya menjadi kaca mata pintar yang paling tidak digemari sepanjang zaman setakat ini. Walaupun produk ini gagal, Google telah berjanji mereka akan hadir dengan Glass baru yang telah dinaiktaraf pada masa hadapan.

Sony Betamax



Kesilapan yang dilakukan oleh Sony dalam penghasilan pemain dan perakam kaset video ini ialah mereka memperkenalkannya di zaman kemuncak bagi pesaingnya, JVS VHS.  VHS telah diperkenalkan tiga tahun lebih awal iaitu pada tahun 1972 berbanding Betamax pada tahun 1975.

Produk Sony tidak mempunyai sebarang masalah secara teknikalnya dan ia dibuktikan apabila ia dapat bertahan selama hampir 40 tahun sebelum legasinya dihentikan pada tahun 2015. Walaubagaimapun, ia tidak pernah dianggap sebagai produk pilihan pengguna sepanjang tempoh itu menyebabkan Betamax dianggap sebagai satu produk Sony yang telah gagal.

Apple Newton



Produk Apple ini bagi kami tidak layak berada dalam senarai ini. Reka bentuk seakan-akan peranti tablet yang ada pada hari ini, ia kurang mendapat tempat di hati pengguna semasa dilancarkan. Namun, fungsi dan ciri yang ada pada peranti ini adalah sangat baik mengambil kira teknologi yang ada pada tahun 2003, tahun ia dilancarkan.

Fungsi seperti Smart Messaging, Beaming, faks dan tulisan tangannya adalah sangat mengagumkan untuk waktu itu. Namun, seperti biasa, harga jualan telah menjadi punca kegagalan kepada peranti keluaran Apple sejak dulu lagi. Dijual pada harga $700(~RM 2,840) dan hadir dengan skrin sebesar 8 inci, Apple Newton muncul sebagai salah satu peranti yang gagal dibawah jenama Apple.

Nintendo Virtual Boy



Salah satu peranti permainan video paling awal pernah dihasilkan, Virtual Boy boleh dikatakan sebagai moyang kepada teknologi realiti maya(VR) yang ada pada hari ini. Menggunakan satu set kepala seperti VR, kualiti grafik yang dipaparkan pada sensor peranti berkenaan adalah sangat mengecewakan.

Imej dan video yang dipaparkan terlihat kabur dan dilaporkan sering memberikan sakit kepala kepada penggunanya selepas bermain selama hanya kira-kira 30 minit. Mencatat jualan sekitar 770,000 unit sepanjang penghasilannya, Virtual Boy menjadi salah satu peranti yang mahu dilupakan oleh Nintendo.

Samsung Galaxy Note 7



Galaxy Note 7 merupakan antara kegagalan paling pahit yang perlu ditelan oleh syarikat Samsung. Masalah pada bateri peranti ini menjadi punca utama sehingga mereka terpaksa memanggil semula peranti berkenaan untuk diperbaiki. Malah, peranti ini telah diharamkan daripada menaiki pesawat di beberapa buah negara.

Walaupun Samsung mendakwa masalah bateri peranti berkenaan telah selesai, ia gagal untuk mengembalikan kepercayaan pengguna untuk memilikinya. Akhirnya, Samsung terpaksa menghentikan penghasilan Galaxy Note 7 ini dan melupakannya buat selama-lamanya.

Sumber 

 

Berkaitan