Lima Permainan Video Mudah Alih Terbaik Untuk Melepaskan Tekanan

Bermain permainan video hari ini bukan sahaja dianggap hobi, malah ia sudah menjadi sumber kewangan bagi sebahagian daripada kita. Tujuan asal permainan video dihasilkan adalah untuk menghiburkan pemain terutamanya kanak-kanak.

Namun, bermain permainan video seperti PUBG Mobile atau Mobile Legends pastinya memberi sedikit tekanan tambahan kepada pemain sekiranya mereka gagal untuk bermain dengan baik. Ia sebenarnya telah lari dari tujuan asal penghasilannya.

Jadi, atas rasa tanggungjawab, kami akan senaraikan lima permainan mudah alih terbaik baagi melepaskan tekanan atau stress, menurut pandangan kami. Pautan untuk memuat turun juga akan kami sediakan.

Alto's Adventure

Permainan ini dibangunkan oleh Noodlecake Studios pada tahun 2015. Pemain akan bertindak sebagai Alto, seorang peluncur salji bersama rakan-rakannya meluncur laju menuruni gunung ais sambil mengumpulkan duit-duit syiling. Malah pemain juga perlu melompat untuk mengelak pelbagai halangan yang terdapat di sepanjang perjalanan.

Alto's Adventure bukanlah permainan yang terlalu mudah, namun ia juga tidak terlalu sukar. Pilihan muzik dan rekaan grafik latar belakang yang menarik juga akan membantu dalam memberi ketenangan kepada pemain.

Pautan : Android   iOS

Mikey Shorts

Sebuah lagi permainan hasil usaha NoodleCake Studios, dan kali ini mereka bekerjasama dengan BeaverTap Games pula untuk menghasilkan Mikey Shorts. Bermain permainan ini buat kali pertama mengingatkan kami kepada permainan lagenda Nintendo, Super Mario.

Ini kerana Mikey Shorts mempunyai gaya permainan yang hampir sama dengan permainan tersebut. Permainan yang amat sesuai untuk kanak-kanak 90-an mengingati kembali 'zaman kegemilangan' mereka sambil melupakan masalah yang mereka hadapi.

Pautan : Android   iOS

SkillTwins Football Game 2

Permainan yang sangat sesuai untuk peminat sukan bola sepak atau kaki futsal di luar sana. SkillTwins Football Game 2 atau ringkas SkillTwins 2 adalah permainan video berkonsepkan bola sepak gaya bebas jalanan yang dibangunkan oleh Hello There.

Gunakan pelbagai skil-skil menarik bagi melepasi pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan bagi menjaringkan gol. Permainan ini mengandungi lebih 10,000 tahap untuk dilepasi.

Pautan : Android   iOS

Hill Climb Racing 2

Berlumba turun dan naik bukit bagi menjadi yang pertama tiba di garisan penamat, permainan yang dibangunkan oleh Fingersoft ini sangat sesuai bagi mereka yang sukakan sedikit cabaran sambil berseronok. Cabaran akan hadir semasa anda perlu menstabilkan kenderaan ketika berada di udara sebelum mendarat.

Pemain bukan sahaja perlu berlumba dengan pelumba lain dalam permainan ini, malah anda juga berpeluang untuk merasai keseronokan pelbagai cabaran lain seperti lari dari dikejar zombi atau naga hijau melalui kemaskini yang disediakan.

Pautan : Android   iOS

Build a Bridge

Berseronok sambil mencabar kebijaksanaan anda dalam membina sebuah jambatan untuk membantu kenderaan-kenderaan melintasi kawasan sungai atau cerun. Reka bentuk jambatan dan bahan yang digunakan akan menjadi faktor penentu akan kejayaan anda.

Permainan yang dihasilkan oleh syarikat Boombit Games ini telah diiktiraf sebagai Permainan Video Paling Inovatif bagi tahun 2017. Ini menjadi salah satu sebab mengapa penggemar permainan video mudah alih perlu mencuba permainan ini.

Pautan : Android   iOS

Semua permainan di atas merupakan pilihan dan cadangan dari pihak kami sahaja. Sekiranya anda mempunyai permainan video yang lain, jangan lupa untuk kongsikan bersama kami di ruangan komen.