Lima Perkara Paling Popular Yang Dilakukan Orang Ramai Di Internet

Sambungan Internet merupakan salah satu perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia hari ini. Berada di satu tempat yang tiada sambungan internet boleh membuatkan sebahagian daripada kita menjadi tertekan atau berasa tidak senang.

Menurut kajian USC Annenberg, rakyat Amerika Syarikat menghabiskan 24 jam atau satu hari dalam seminggu hanya dengan melayari internet sepanjang tahun 2017. Ia merupakan satu statistik yang agak mengejutkan memandangkan ia adalah 9 jam lebih lama berbanding yang direkodkan pada 2016.

Apa sebenarnya yang kita lakukan di dunia maya ini sehingga tanpa sedar telah menghabiskan masa sebanyak itu? Berdasarkan pelbagai sumber, kami akan senaraikan lima perkara yang paling popular dilakukan oleh pengguna internet di atas talian.

1. Melayari Laman Media Sosial



Facebook, Twitter, Instagram, WeChat, dan banyak lagi laman media sosial menjadi antara laman paling digemari oleh pengguna internet seluruh dunia. Penggunaan telefon pintar juga menjadi punca kepada populariti melampau laman-laman tersebut.

Menurut laporan laman brandwatch.com, 3.03 billion daripada 7.6 billion populariti dunia hari ini adalah pengguna media sosial. Daripada jumlah berkenaan, setiap seorang mempunyai purata 5 akaun media sosial berbeza yang digunakan.

2. Menonton Video



Menonton video atau filem atas talian adalah salah satu cara terbaik bagi meluangkan masa lapang ketika bosan atau bercuti. Platform penstriman video percuma seperti Youtube dan Twitch telah menjadi semakin popular berbanding 10 tahun lalu.

Laman-laman seperti itu bukan sahaja menjadi tumpuan penonton, malah ia juga digunakan oleh para pengusaha syarikat bagi mempromosikan produk mereka. Antara perkara yang sering ditonton atas talian ialah penstriman permainan video, video tutorial, siri animasi dan video muzik.

3. Bermain Permainan Video



 

Jika dulu, kita hanya bermain permainan video secara berseorangan atau dengan rakan-rakan berdekatan sahaja, kini kita boleh bermain bersama pemain dari negara berbeza. Perkara itulah yang menarik para pemain untuk menghabiskan berjam-jam lamanya bermain game kegemaran mereka.

Secara purata, para pemain menghabiskan 10 jam seminggu untuk bermain permainan video. Malah, sebahagian daripada mereka sanggup mengeluarkan belanja yang besar semata-mata untuk menjadi lebih baik daripada pesaing-pesaing mereka.

4. Menonton Video Lucah



Ya, menonton video lucah memang termasuk dalam senarai ini. Menurut laporan Fight The New Drug, laman sesawang lucah popular, PornHub sahaja menerima seramai hampir 1,000 orang pengunjung setiap saat atau 78.1 juta pengunjung sehari.

Ia agak mengejutkan apabila jumlah itu adalah lebih ramai berbanding populariti penduduk UK. Perkara ini sangat merisaukan kerana ia membuktikan video atau bahan lucah semakin mudah didapati dan sudah dianggap satu kebiasaan oleh manusia hari ini.

5. Menggunakan Perkhidmatan E-mel



E-mel telah menjadi semakin penting hari ini. Ia sudah menjadi medium perhubungan rasmi, dan boleh dianggap lebih popular berbanding perkhidmatan surat tradisional hari ini. Tawaran kerja, promosi jualan, tawaran sambung belajar, semuanya boleh dibuat melalui e-mel sahaja.

Malah, ia juga boleh dibuat secara percuma, sekaligus menjimatkan pengirim berbanding menggunakan perkhidmatan pos. Jadi, bukanlah sesuatu yang pelik apabila 4.1 billion orang mempunyai sekurang-kurangnya satu e-mel pada hari ini.

Sumber : Pelbagai