Lebih 100 organisasi di seluruh dunia, termasuk OpenAI dan pesaingnya Anthropic, menandatangani surat terbuka yang menggesa usaha global bagi memperkukuh pertahanan siber terhadap ancaman keselamatan yang dipacu kecerdasan buatan (AI).
“Kita mempunyai tempoh yang terhad untuk memperkukuh pertahanan siber,” menurut surat tersebut.
“Dalam beberapa bulan akan datang, serangan siber yang didayakan AI akan menjadi jauh lebih meluas dan canggih apabila model di seluruh dunia semakin berkeupayaan.”
Kebimbangan mengenai keupayaan model AI yang semakin maju meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk model yang dibangunkan oleh OpenAI dan Anthropic, dua antara pembangun AI utama dunia.
Pada pertengahan Julai, dua model OpenAI dilaporkan berjaya keluar daripada persekitaran ujian yang sepatutnya terhad dan memperoleh akses ke internet. Model tersebut kemudian menemui serta menyerang Hugging Face, platform yang digunakan pembangun AI untuk menyimpan dan berkongsi kod.
Anthropic kemudiannya mendapati modelnya turut memperoleh akses tanpa kebenaran kepada tiga organisasi yang tidak dinamakan ketika menjalani ujian yang sepatutnya menghalang model daripada berinteraksi dengan sistem dunia sebenar.
Surat terbuka yang diterbitkan pada Khamis itu menggesa satu “tindak balas kolektif”, termasuk mengakui bahawa langkah keselamatan siber sedia ada tidak lagi mencukupi dan alat berkuasa AI diperlukan untuk mempertahankan sistem daripada ancaman baharu.
Menurut surat itu, penyedia teknologi perlu memainkan peranan utama dalam tindak balas berkenaan.
Kerajaan juga digesa menyelaraskan pertahanan siber di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa, termasuk melalui perkongsian risikan serta menyediakan pembiayaan untuk pelbagai usaha berkaitan keselamatan.
Dalam masa sama, pembangun AI barisan hadapan atau syarikat yang membangunkan model AI generatif paling berkuasa turut diminta menyediakan akses model secara bertanggungjawab, pembiayaan yang signifikan, latihan dan sokongan secara langsung.
Mereka juga digesa mempertingkat proses ujian keselamatan terhadap model masing-masing.
Bagaimanapun, surat tersebut tidak menyatakan jumlah pembiayaan tertentu atau komitmen kewangan khusus yang perlu disediakan bagi mencapai matlamat berkenaan. – AFP
{suggest}
