Konsol Permainan Video Google Semakin Hampir Menjadi Kenyataan

Google sekali lagi dikaitkan dengan pembangunan sebuah konsol permainan video mereka sendiri, walaupun mereka mengelak untuk memberi sebarang komen sehingga kini. Google 'Yeti' adalah nama yang digembar-gemburkan sebagai gelaran untuk konsol tersebut.

Ura-ura berkenaan konsol itu semakin hampir menjadi kenyataan apabila Google telah membawa Richard Marks, salah seorang pembangun Sony PlayStation VR ke dalam pasukan mereka. Ia memberi gambaran bahawa mereka akan turut menghasilkan satu sistem permainan berkaitan realiti maya(VR).


Kredit : UploadVR


Marks sebelum ini telah bekerja dengan syarikat teknologi terkenal dari Jepun itu selama 19 tahun. Selain PlayStation VR, beliau turut terlibat dalam beberapa projek utama Sony seperti PlayStation Move serta menjadi Ketua PlayStation Magic Lab, sebuah pasukan R&D bagi syarikat berkenaan.

Google bagaimanapun masih belum mengumumkan mengenai jawatan yang akan dipegang oleh Marks, walaupun telah mengesahkan mengenai pengambilan beliau. Selain Marks, Google turut mengambil Phil Harrison, bekas pegawai senior dalam pasukan permainan video Sony dan Microsoft untuk menyertai mereka.



Google Yeti dilaporkan akan ditawarkan bersama sistem penstriman permainan video dengan kandungan pihak pertama daripada Google sendiri. Ini bermakna Google juga perlu menghasilkan lambakan permainan video menarik bagi dimainkan oleh pemilik konsol itu nanti.

Walaubagaimanapun, terdapat juga dakwaan bahawa Google akan bekerjasama dengan pembangun permainan video popular yang lain bagi menyediakan permainan untuk Yeti nanti. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut berkenaan perkara ini dalam masa terdekat.

Sumber