KKM Pantau Individu Kuarantin Di Rumah Menggunakan Gelang RFID

Setakat 15 Ogos 2021, kita telah menyaksikan jumlah kes keseluruhan bagi jangkitan Covid-19 di Malaysia berada pada angka lebih dari 1.4 juta.

Pelbagai arahan dan langkah telah diwujudkan seperti pemakaian gelang untuk golongan yang dijangkiti wabak tersebut. Baru-baru ini, bagi menambah baik sistem kuarantin kendiri sedia ada, pihak KKM menyatakan pemakaian peranti elektronik sudah mula dijalankan.

Memetik laporan Sinar Harian,  Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) menyatakan sejumlah 1000 peranti elektronik sudah dipasang. Pemasangan dibuat keatas pengembara yang pulang ke Malaysia dan telah mendapat kebenaran untuk menjalankan kuarantin wajib di rumah.

Peranti RFID e-Bracelet itu akan menggunakan teknologi GPS, GPRS dan RFID untuk menyediakan lokasi dan status pemakai secara masa sebenar (real time ).

Ini bukan sahaja memberikan pengesanan yang lebih berkesan malah dapat membantu merekod maklumat kesihatan individu secara digital.

Difahamkan bahawa 1000 unit peranti telah dipasang sebagai projek rintis dan secara keseluruhan akan melibatkan 30,000 peranti. Selain itu, dinyatakan juga perkhidmatan pengesanan dan pemantauan dilakukan secara penyumberluaran (outsourced) dikendalikan oleh syarikat yang tidak dinamakan.

Sementara itu bagi penguatkuasaan untuk sistem pemantauan ini akan dipertanggungjawabkan kepada pihak KKM dan PDRM.

Sumber: Selangor TV