Kegawatan Ekonomi Global, Ini Antara 'Gergasi' Teknologi Yang Terkesan

Ekonomi global dijangka akan terus mengalami kemelesetan pada tahun 2023. Bagi menghadapi kegawatan ekonomi global, lebih banyak gergasi teknologi mula mengurangkan pengambilan dan memberhentikan pekerja dalam skala besar.

{suggest}

Berikut disenaraikan antara syarikat-syarikat teknologi besar yang merancang, bakal atau telah memberhentikan pekerja.

Meta


Pada November 2022, Meta telah mengumumkan pemberhentian 11,000 pekerja atau sekitar 13% daripada jumlah keseluruhan. CEO Mark Zuckerberg ketika itu mengatakan dia bersalah kerana terlalu optimistik tentang pertumbuhan masa depan syarikat berdasarkan lonjakan pandemik.



Zuckerberg berkata pekerja yang diberhentikan di Amerika Syarikat (AS) akan menerima 16 minggu gaji asas ditambah dua minggu tambahan untuk setiap tahun perkhidmatan, perlindungan insurans kesihatan selama enam bulan, serta sokongan untuk mencari kerjaya baharu dan sebagainya.

Jelasnya, syarikat itu akan membekukan pengambilan pekerja hingga suku pertama 2023 dengan sejumlah kecil pengecualian.

Amazon


Amazon dilapor telah memaklumkan kepada pekerja yang terjejas, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memberhentikan pekerja sekitar 18,000 orang secara berperingkat. Ia dikatakan sebagai pembuangan pekerja terbesar yang pernah berlaku dalam syarikat itu.



Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar pekerja yang terjejas pada kali ini, namun syarikat itu dikatakan telah memberhentikan 2,300 pekerja di Washington.

Laporan pada November tahun lalu menyatakan sekitar 10,000 pekerja terjejas, termasuk di bahagian perkakasan dan perkhidmatan, sumber manusia serta peruncitan.

Pada awal Januari, Amazon telah mengesahkan pemberhentian pekerja dalam skala besar, dengan mengatakan lebih 18,000 pekerja terjejas secara keseluruhan, termasuk dari tahun lepas.

Microsoft




Pada minggu lalu, Microsoft telah mengumumkan pemberhentian besar-besaran, yang menjejaskan 10,000 pekerja.

CEO Microsoft Satya Nadella berkata pemberhentian itu hanya melibatkan kurang 5% daripada jumlah keseluruhan pekerja.

Dinyatakan, pekerja di AS yang terjejas akan menerima "gaji pemberhentian melebihi pasaran", perlindungan penjagaan kesihatan selama enam bulan, perkhidmatan peralihan kerjaya, notis 60 hari sebelum penamatan dan sebagainya.

Google




Google tidak terkecuali apabila CEO Sundar Pichai turut mengumumkan pengurangan 12,000 pekerja atau 6% daripada keseluruhan pekerjanya di seluruh dunia, pada minggu lalu.

Pichai memaklumkan e-mel berasingan telah dihantar kepada pekerja di AS yang terjejas. Di negara lain, proses tersebut akan mengambil masa yang lebih lama disebabkan oleh undang-undang dan amalan tempatan.

Bagi pekerja di AS yang terkesan, Google turut menawarkan pembayaran bonus 2022 dan baki masa cuti. Lain-lain adalah sama seperti yang ditawarkan oleh Meta dan Microsoft. Manakala pekerja di luar AS akan menerima sokongan selaras dengan amalan tempatan.

Spotify


Dalam memo hari ini, CEO Spotify Daniel Ek memaklumkan pengurangan kira-kira 6% tenaga kerjanya di seluruh dunia.



Menurut The Verge, Spotify mempunyai sekitar 9,800 pekerja sepenuh masa setakat laporan pendapatan terakhirnya, bermakna pemberhentian hari ini menjejaskan tidak lebih daripada 600 pekerja.

Ek mengumumkan pemberhentian pekerja sebagai sebahagian daripada penyusunan semula organisasi, yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan mempercepatkan proses membuat keputusan.

Bagi pekerja yang terjejas, Spotify turut menawarkan pampasan yang hampir sama seperti Meta, Microsoft dan Google serta beberapa penambahan lain.

Sumber: The Verge