Kedudukan 5 Teratas Syarikat Pengeluar Telefon Pintar Yang Menguasai Pasaran Telefon Pintar Dunia Bagi Tahun 2018

Ia berdasarkan kepada data penghantaran telefon pintar di seluruh dunia, perkongsian pasaran dan perbandingan pertumbuhan antara tahun 2017 dan 2018.


Artikel sebelum ini mengatakan bahawa telefon pintar Apple iPhone 7 Plus sebagai peranti paling popular dikalangan pengguna telefon pintar di Malaysia (berdasarkan kutipan data oleh Device Atlas).

Tetapi, itu belum cukup untuk terus mengekalkan Apple sebagai pengeluar telefon pintar paling popular di seluruh dunia buat kali kedua.

Apple jatuh ke tempat kedua


Menurut data terbaru dari IDC, tidak sepertimana tahun 2017 yang lalu, Apple telah jatuh ke tempat ke 2 dalam penguasaan pasaran telefon pintar dunia bagi tahun 2018.

Manakala Samsung pula telah berjaya merampas kedudukan Apple untuk berada di tangga pertama.

Walaubagaimanapun, berdasarkan kepada hasil dapatan data dari kajian yang dijalankan oleh pihak IDC (International Data Corporation) menunjukkan bahawa penghantaran, perkongsian dan pertumbuhan pasaran telefon pintar antara 2 pesaing utama ini telah mengalami kejatuhan di seluruh dunia.

"Globally the smartphone market is a mess right now,"



Itulah yang dapat digambarkan oleh Ryan Reith, Naib Presiden Program Penjejak peranti mudah alih di seluruh dunia bersama IDC.


Tambah beliau, sungguhpun terdapat peningkatan pasaran di beberapa negara Asia seperti  India, Indonesia, Korea dan Vietnam, tetapi mereka mendapati tidak berlakunya perkembangan positif pada pasaran telefon pintar di seluruh dunia untuk sepanjang tahun 2018.

5 Syarikat teratas pengeluar telefon pintar di dunia


Pihak IDC telah menyenaraikan 5 syarikat pengeluar telefon pintar utama dunia yang berada pada kedudukan 5 tangga teratas untuk tahun 2018.

Kedudukan ini adalah berdasarkan kepada jumlah penghantaran telefon pintar di seluruh dunia, perkongsian pasaran dan perbandingan pertumbuhan pasaran bagi suku ke 4 antara tahun 2017 dan 2018. (penghantaran adalah dalam kiraan berjuta unit)

Kapsyen: Sumber data : IDC Quarterly Mobile Phone Tracker, 30 January, 2019

3 syarikat pengeluar telefon pintar dari China  berjaya meningkatkan penguasaan pasaran telefon pintar dunia.


Daripada carta di atas dapat dilihat bahawa penguasaan pengeluar telefon pintar oleh Samsung, Apple dan jenama-jenama lain telah mengalami penurunan pertumbuhan apabila dibuat perbandingan antara tahun 2017 dengan 2018.

Apple Inc adalah syarikat pengeluar iPhone yang mengalami penurunan paling teruk dalam pasaran telefon pintar dunia bagi suku ke 4 tahun 2018 iaitu sebanyak -11.5%. Manakala Samsung pula mengalami kejatuhan sebanyak -5.5%.

Kapsyen: Apple di dalam laporan terbaru keputusan suku pertama 2019 menyatakan bahawa hasil daripada jualan iPhone mereka telah merosot kepada 15 peratus daripada tahun sebelumnya. Kesan daripada itu, Apple dikatakan akan menurunkan harga iPhone di beberapa buah negara.


Akibat daripada kejatuhan pasaran iPhone tersebut, Samsung telah berjaya merampas kedudukan pertama dari Apple bagi tahun 2018.

Huawei, OPPO dan Xiaomi


Sungguhpun Samsung dan Apple masih menguasai pasaran telefon pintar dunia, 3 buah syarikat pengeluar telefon pintar dari China telah berjaya meningkatkan penguasaan pasaran telefon pintar mereka di seluruh dunia.

Huawei, OPPO dan Xiaomi adalah syarikat pengeluar telefon pintar dari China yang tidak asing lagi pada peminat dan pengguna telefon pintar.

Berbeza dengan Samsung dan Apple yang mengalami kejatuhan pasaran, ketiga-tiga syarikat dari China ini pula telah berjaya meningkatkan penguasaan pasaran telefon pintar dunia.

Paling ketara dan berjaya mengekori rapat sekaligus meletakkanya di tangga ketiga menguasai pasaran telefon pintar dunia adalah Syarikat Huawei. Syarikat ini telah mengalami pertumbuhan pasaran paling tinggi antara 2017 dan 2018 iaitu sebanyak 43.9%.

IDC berkata, Syarikat Huawei terus berjaya menembusi pasaran telefon pintar antarabangsa dengan pertumbuhan dalam hampir setiap pasaran antarabangsa yang  mereka sertai pada 2018.

Kapsyen: Huawei terus mencapai kejayaan pasaran telefon pintar  menerusi barisan model popularnya, HONOR.

5 syarikat utama ini terus meningkatkan penguasaan


Disebalik penurunan pasaran telefon pintar yang dialami oleh Samsung dan Apple, IDC menyatakan bahawa 5 syarikat utama ini pada asasnya masih berkembang dan terus mengukuhkan penguasaan pasaran telefon pintar dunia.

Malah walaupun menyedari kadar penukaran atau pengguna menaik taraf telefon pintar mereka kepada model terbaru adalah masih kekal rendah, IDC menjangkakan ketibaan teknologi capaian 5G pada telefon pintar serta rekaan telefon pintar yang boleh dilipat dijangka akan mampu memacu industri telefon pintar dunia untuk berkembang pesat pada tahun ini.

Carta di bawah pula menunjukkan kedudukan 5 syarikat teratas telefon pintar dunia bagi tahun 2018 beserta dengan jumlah keseluruhan unit penghantaran telefon pintar di seluruh dunia, perkongsian pasaran dan pertumbuhan antara tahun 2017 dan 2018.

(penghantaran adalah dalam kiraan berjuta unit)

Kapsyen: Sumber data : IDC Quarterly Mobile Phone Tracker, 30 January, 2019


 

Info tambahan: Syarikat pengeluar telefon pintar Vivo pula berada ditangga ke 6 bagi tahun 2018.