Kad NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti Bermasalah? NVIDIA Beri Jaminan Masalah Hanya Melibatkan Sebilangan Yang Kecil

Selalunya, setiap produk yang dilancarkan tidak kisah sama ada automotif mahupun elektronik akan menghadapi masalah terutamanya generasi pertama. Kad grafik NVIDIA GeForce juga tidak terkecuali apabila sebilangan pemilik kad serba baharu tersebut melaporkan menghadapi pelbagai masalah melibatkan kad grafik mereka.

Digital Trends melaporkan sebilangan pengguna menghadapi masalah seperti crash, BSOD, artifacts dan juga kegagalan kad untuk berfungsi sepenuhnya. Masalah tersebut tidak tertakluk kepada kad asal (Founders Edition) malah dikatakan menjejaskan kad-kad pihak ketiga (AIB) lain.

Majoriti masalah ini dihadapi oleh kad RTX 2080 Ti tetapi kad lain seperti RTX 2080 juga tidak terkecuali berdasarkan kiriman di Reddit.





Terdapat pelbagai teori mengenai punca permasalahan; senibina Turing, masalah pembuatan di kilang. Walau apa pun, reputasi NVIDIA sedikit sebanyak terhakis selepas kad grafik pasaran pengguna paling premium mereka untuk tahun ini dilanda masalah tersebut.

Sebagai pengenalan, kad grafik GeForce RTX 2080 Ti dijual dengan harga melebihi RM 5,000 dan menampilkan teknologi Ray-tracing dan DLSS (Deep Learning Super Sampling) yang dikatakan datang 10 tahun lebih awal dari yang sepatutnya.

NVIDIA sementara itu telah memberikan respon mereka mengenai isu ini dan mengatakan kad yang bermasalah tersebut masih di dalam kuantiti yang kecil. Mereka sedang bekerja keras dengan setiap individu yang terlibat bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Sumber