Jangan Gelar Peminat Tegar Apple Kalau Belum Ada Apple TV 4K

Setiap individu di dunia, pasti mempunyai sebuah jenama yang diminati. Baik Xiaomi, Samsung mahupun Apple. Kebiasaannya mereka cenderung memilih jenama tersebut adalah disebabkan memang meminatinya atau untuk ekosistem.

Salah satu jenama yang sentiasa dicanang mempunyai ekosistem yang baik ialah Apple. Memang tidak dinafikan, Apple sentiasa menekankan ekosistemnya kepada pengguna mereka.

Apabila seseorang sudah menggunakan iPhone, secara tidak langsung mereka menginginkan Apple Watch dan kemudian AirPods. Kalau mahu melengkapkan ekosistem itu lagi, pembelian iPad dan MacBook pasti dilakukan.

Walau bagaimanapun, satu produk Apple yang sering "dilupakan" ialah Apple TV 4K. Benar, saya pasti dalam kalangan anda yang menggunakan pelbagai produk Apple, tidak pernah terlintas pun ingin membelinya bukan?

Saya pun begitu, saya fikir setelah memiliki kain lap Apple sudah cukup tegar. Namun, saya merasakan dengan adanya Apple TV 4K, barulah benar-benar lengkap hidup saya sebagai pengguna tegar Apple.

Apa Itu Apple TV 4K?


Persoalan seperti ini memang akan didengari oleh mana-mana pengguna sama ada mereka menggunakan produk Apple atau pun tidak.

Sebenarnya, Apple TV 4K ini sama sahaja dengan kotak Android (Android Box) yang berada di pasaran. Bezanya? Sudah semestinya ia menjalankan sistem operasi serta dikuasakan perkakas daripada Apple sendiri.

Apple TV ini bukanlah produk baharu oleh Apple, mereka telah menawarkan sejak tahun 2007 lagi. Mengorak langkah ke era moden, Apple TV beresolusi 4K pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017 dan peranti generasi kedua atau generasi keenam dalam Apple TV ini pula dilancarkan tahun lalu.



Jika Android Box atau Android TV hadir dengan Play Store, begitu juga yang wujud dalam Apple TV 4K, iaitu App Store.

Dari sini, terdapat banyak aplikasi yang khusus untuknya seperti Netflix, Disney+ Hotstar, HBO Go dan sebagainya.

Mudah kata, Apple TV 4K ini adalah untuk mengubah TV anda kepada "Apple TV". Yalah, TV yang berada di pasaran merangkumi dua - Smart TV dan Android TV. Anda boleh mengetahui perbezaannya menerusi artikel INI.

Beza Apple TV 4K Gen 2 dan Apple TV 4K Gen 1


Penawaran Apple TV 4K Gen 2 adalah jauh lebih baik berbanding generasi terdahulu. Salah satu yang menarik ialah Thread. Fungsinya adalah untuk mengawal peranti IoT atau smart home menerusi home kit. Misalnya mengawal lampu pintar untuk melaras kecerahannya.



Selain itu, warna yang dipaparkan pada TV turut boleh dikalibrasi (calibrate) dengan menggunakan iPhone. Ia memudahkan visual yang dipaparkan mengikut kesesuaian ruang menonton anda.

Untuk spesifikasi lain, anda boleh rujuk di bawah:

Apple TV 4K Gen 2

  • HDMI 2.1 (output hingga 4K60 HDR10 dan Dolby Vision)

  • Cip Apple A12 Bionic

  • Kadar bingkai tinggi HDR

  • Gigabit Ethernet

  • Bluetooth 5.0

  • IR receiver

  • Wi-Fi 6


Apple TV 4K Gen 1

  • HDMI 2.0a (2160p, Dolby Vision, HDR10)

  • Cip Apple A10X Fusion

  • Gigabit Ethernet

  • Bluetooth 4.0

  • IR receiver

  • Wi-Fi 5


Perubahan lain yang Apple tawarkan pada Apple TV 4K Gen 2 adalah alat kawalannya (siri remote).

Dari segi saiz, ia hampir sama tetapi siri remote gen 2 panjang sedikit. Kemudian, Apple meletakkan clickpad berbanding permukaan boleh sentuh (touch surface) yang ada pada siri remote gen 1.



Butang siri pun diubah pada bahagian sisi dan butang menu telah diubah kepada 'back'. Walaupun clickpad, ia tetap membolehkan saya menggerakkan "cursor" tanpa klik.

Bagi pemahaman, ia ibarat menggunakan touch pad dalam komputer riba. Walaupun ini kali pertama saya memakainya tetapi saya merasakan fungsi terbaru pada siri remote gen 2 memang lancar dan memudahkan.

'Syok' Ke Guna Apple TV 4K?


Seperti mana yang telah saya nyatakan, ini merupakan kali pertama saya menggunakan Apple TV 4K. Apatah lagi Apple TV generasi pertama.

Pada awalnya, saya juga memperlekehkan Apple TV walaupun menggunakan banyak produk Apple. Bukan apa, televisyen (TV) di rumah pun sudah pintar (smart TV). Nak tengok Netflix? Aplikasinya sudah pun terpasang.



Malah, selain smart TV, Android TV pun banyak ditawarkan di pasaran yang mana ia hadir dengan Play Store. Secara tidak langsung, boleh memainkan permainan (game) juga.

Jadi, apa logiknya untuk memiliki Apple TV lagi bukan?

Bagaimanapun, setelah 2 minggu menggunakannya, saya mendapati bahawa Apple TV 4K bukanlah satu produk yang gagal. Apple menggelarnya sebagai 'Home Cinema'.

Rupanya tampak premium. Dengan kemasan warna hitam, lagilah membuatkannya ia lebih menonjol sebab 'hitam itu premium'. Kalau letak di ruang tamu, memang menyerlah. Saiznya juga tidaklah besar seperti Nvidia Shield TV dan tidak juga sangat kecil macam Google Chromecast.



Apa yang saya sedar, Apple cuba mengubah bagaimana 'Home Cinema' itu sepatutnya ada di TV. Dalam Apple TV, ia dilihat lebih kemas, simple dan clean. Memang itu style Apple. Tidak gemar untuk menyerabutkan pengguna.

Kalau anda memang sudah menggunakan produk Apple, pasti tidak akan kekok menggunakan Apple TV kerana antara muka serta ikon masih lagi ada nadi Apple.

Gedung aplikasi App Store pun menawarkan banyak aplikasi. Ditambah lagi pengguna langganan Apple One, game dari Apple Arcade pun boleh dimainkan.

Kapsyen: Android TV


Namun, sistem operasi Apple TV - tvOS tidak menyokong sideload atau memasang aplikasi bukan dari App Store. Kekurangan lain yang utama, tiada pelayar web (web browser). Mungkin ada yang tidak kisah tapi saya merasakan ketiadaan pelayar web memang satu kehilangan besar juga jika nak dibandingkan pesaingnya - Android TV.

Macam tak syok sebab tak ada faktor 'wow' pun

Benar, sebenarnya Apple TV ini memang diciptakan khusus buat pengguna serta peminatnya. Ini kerana banyak kelebihan yang dapat dimanfaatkan bagi golongan yang berada dalam ekosistem Apple.



Antara kelebihannya seperti set up dengan mudah, syncronization antara peranti Apple dan banyak lagi. Bagaimanapun, bagi yang tidak mempunyai produk Apple, bolehkah membeli Apple TV 4K?

Bagi pengguna Apple pula, memang berbaloi ke jika memilikinya? Apa lagi yang boleh dilakukan dalam Apple TV 4K? Kesemua perkara ini akan saya bincangkan dalam artikel akan datang.

Baca juga: