Kalau dalam dunia gaming, nama Razer sering dikaitkan dengan penjualan produk pada tanda harga yang agak tinggi berbanding pesaingnya. Namun, perkara ini tidak memberikan masalah pun kerana mereka mempunyai peminat ramai di serata dunia dan mampu menjual produk mereka.
Bagi, dunia telefon pintar pula, Apple yang menjadi topik perbualan hangat terutama setiap kali mereka melancarkan produk. Tahun lalu, Apple memberi satu kejutan besar kepada dunia dengan memperkenalkan “kain lap premium” – Apple Polishing Cloth. Mengapa premium? Ini kerana tanda harganya RM99 sehelai.
Disebabkan itu, Apple menerima kecaman hebat, troll dan pelbagai lagi oleh warganet. Akan tetapi, seperti Razer, Apple juga mempunyai peminat yang ramai. Kalau Apple jual timun pun, tak mustahil akan ada orang beli.
Siapa sangka, produk yang dikecam itu mendapat permintaan yang amat tinggi sehinggakan kehabisan stok ketika jualan pertama dibuat.
Bukan Kain Lap Pertama Dari Apple
Saya pun terfikir, menarik sangat ke kain lap Apple ni sampai habis stok. Jadi, saya tak berfikir panjang dan terus membelinya. Cumanya, saya perlu menunggu sehingga 2 bulan untuk kain lap ini tiba ke pangkuan.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Apple tampil dengan kain lap. Dahulu, mereka mempunyai satu kain lap berwarna hitam. Bezanya, dulu ia diberikan secara percuma untuk setiap pembeli MacBook Pro. Kemudian, ia disertakan sekali bagi setiap pembelian Apple Care. Kini, kain lap tersebut sudah tidak diberikan dan sudah menjadi barang ‘rare’.
Apabila anda membeli Apple Polishing Cloth, di dalam kotak akan ada satu dokumen dan sehelai kain. Tidak lebih daripada itu. Kain lap ini diperbuat daripada bahan yang lembut dan tidak licin. Maknanya ia sedikit kesat mirip kainnya yang lama atau kain lap cermin mata.
Apple juga ada mengatakan bahawa Polishing Cloth ini sesuai dan mudah untuk mengelap skrin paling mahal daripada mereka, iaitu Pro Display XDR yang mempunyai panel nano-texture glass.
Bukan itu sahaja, di laman sesawang Apple sendiri juga, mereka menyatakan peranti-peranti apa yang menyokong kain lap tersebut. Contohnya iPhone SE Gen 1 hinggalah iPhone 13 Pro Max, iPad mini Gen 1 hingga iPad mini Gen 6, Apple Watch, MacBook dan banyak lagi. Saya pun tidak pasti, adakah ini hanyalah strategi pemasaran sahaja.
Prestasi Apple Polishing Cloth
Setelah saya mencuba kain lap premium ini, memang benar apa yang Apple katakan. Mudah untuk mengelap skrin peranti-peranti Apple atau kerangkanya. Namun, saya dapati bahawa ia tidak cukup menandingi kain lap mereka yang lama.
Mengapa saya kata begitu? Ini kerana Apple Polishing Cloth sukar sedikit apabila mahu menghilangkan kotoran degil seperti tompok air atau kotoran yang ditinggalkan. Di sini, semburan 70% isopropyl alcohol atau cecair membersihkan skrin diperlukan jika mahu benar-benar bersih.
Perkara ini tidak terjadi pada kain lap Apple yang lama itu di mana saya tidak memerlukan sebarang cecair semburan. Saya hanya perlu ‘sental’ dengan lebih kuat sahaja dan kotoran akan terus hilang.
Seperkara lagi, saya pun tidak pasti mengapa Apple memberikan warna kelabu sebegini. Memang nampak cantik tetapi ia mudah meninggalkan kesan kotor. Kalau Apple berikan warna lebih gelap, jauh lebih baik.
Tidak Terhad Untuk Peranti Apple Sahaja
Jangan risau kalau anda bukan pengguna Apple, memang tak ada masalah pun kalau anda nak gunakan Apple Polishing Cloth pada peranti Xiaomi, OPPO, HUAWEI, vivo, Pixel, Sony, realme dan lain-lain.
Macam yang saya katakan, mungkin Apple sengaja memaparkan ‘compatibility device’ bagi Apple Polishing Cloth ini. Orang kata, taktik pemasaran.
Saya dah cuba lap peranti Xiaomi Pad 5, Samsung Galaxy S21 FE, HUAWEI P50 Pro dan banyak lagi. Hasilnya masih lagi bersih.
Berbaloi Atau Tidak?
Pada pendapat saya, kurang berbaloi untuk anda mengeluarkan wang sehingga RM99 hanya bertujuan membersihkan skrin atau peranti. Tinjauan saya di group Facebook Mac User Malaysia yang dipenuhi otai-otai MacBook pun, mereka tidak menyarankan untuk membelinya.
Saya sendiri mempunyai pendapat yang sama. Lebih baik anda membeli kain microfiber yang dijual di kedai MR.DIY misalnya. Lebih murah dan bersih juga.
Akan tetapi, jika anda mahukannya juga, tidak ada halangan. Terutama bagi anda yang benar-benar gilakan produk Apple dan mahu lengkapkan ekosistem.
Baca juga: