TV adalah antara alat elektronik yang jarang orang nak kisah bukan seperti telefon pintar tetapi bila masa untuk membelinya, memang jenuh kepala memikirnya.
Persoalan yang sering ditimbulkan apabila membeli televisyen adalah mahu membeli model Smart TV atau Android TV. Walau nampak sama tetapi kedua-duanya mempunyai implikasi berbeza jika anda memilih satu model berbanding model satu lagi.
Untuk artikel kali ini, anda akan diperjelaskan dengan perbezaan antara Smart TV dan Android TV serta model mana satu yang patut anda pilih untuk pembelian TV anda.
{suggest}
Perbezaan
Berbanding TV biasa, kedua-dua Android TV dan Smart TV kedua-duanya TV yang mempunyai fungsi lebih seperti menyambung kepada internet dan memuat turun aplikasi.
Perbezaan utama antara kedua adalah terletak pada sistem operasinya. Android TV menjalankan sistem operasi dari Android manakala Smart TV adalah sistem operasi selain dari Android.
Sistem operasi Smart TV adalah bergantung kepada siapa yang membuat TV itu. Jika Smart TV itu dari LG, ia menggunakan webOS. Jika dari Samsung, ia menggunakan Tizen OS. Jika dari Sharp, ia menggunakan Smart Central dan berbagai-bagai lagi jenama lain.
Sebagai perbandingan, lebih ramai pengeluar yang menggunakan Smart TV berbanding Android TV, jadi contoh sistem operasi yang disenaraikan sebenarnya lebih banyak dari itu.
Kelebihan Dan Kekurangan Smart TV
Smart TV mempunyai kelebihan mudah digunakan apabila keluar dari kotak tanpa perlu meggeledah tetapan. Smart TV juga mempunyai banyak model untuk dipilih berbanding Android TV.
Pun begitu, Smart TV kebiasaannya mengalami masalah aplikasi sokongan yang sedikit. Ia bergantung kepada pengeluar tersebut jika mahu memberi sokongan aplikasi atau tidak.
Berbanding Android TV, bukan kesemua aplikasi boleh disumbat dalam Smart TV kerana sokongan gedung aplikasi yang berlainan.
Jangka hayat sokongan perisian Smart TV juga lebih ringkas berbanding Android TV.
Kelebihan Dan Kekurangan Android TV
Dengan menjalankan sistem operasi Android, Android TV mempunyai gedung aplikasi utama Google Play Store. Terdapat banyak aplikasi atau servis yang boleh diakses jika menggunakan Android TV.
Android TV juga kebiasaanya lebih murah dari Smart TV disebabkan ia menggunakan sistem operasi sumber terbuka.
Android TV juga kerap menerima kemaskini dari Google sendiri dan mempunyai jangka hayat sokongan perisian yang agak lama berbanding Smart TV.
Kekurangan Android TV adalah tidak ramai pengeluar yang menghasilkannya. Antara jenama utama yang mempunyai Android TV adalah Sony, Sharp, Nvidia, Samsung, dan Philips. Pilihan lebih terhad jadi model pun tidak banyak untuk dipilih.
Seperkara lagi adalah, jika untuk pengguna baharu, Android TV mungkin agak mengelirukan kerana antaramuka yang lebih sukar digunakan berbanding Smart TV.
Pilih Mana Satu?
Walaupun kedua-dua jenis TV mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, Android TV dirasakan mempunyai lebih fleksibiliti dari Smart TV.
Ini adalah kerana ia mempunyai akses kepada banyak aplikasi dan servis menjadikannya sebuah platform tontonan yang lebih pelbagai.
Tambahan lagi, Android TV juga secara amnya mempunyai harga jualan lebih murah dari Smart TV.
Walupun begitu, tidak semua pengguna suka dengan antaramuka Android TV lagi-lagi untuk pengguna baharu dan tidak biasa. Namun, dengan kelebihan seperti kemaskini dan sokongan perisian Android yang lebih lama, sudah tentu ia akan memberi nilai yang berbaloi berbanding Smart TV.
Secara kesimpulannya, Android TV adalah sejenis dari Smart TV, tetapi Smart TV tidak semestinya Android TV.