Satu siasatan eksklusif melaporkan sebuah syarikat teknologi pengiklanan yang didakwa mempunyai kaitan dengan operasi perisikan Israel telah menyasarkan pengguna perkhidmatan internet satelit Starlink secara besar-besaran menerusi sistem iklan dalam talian.
Penemuan itu didedahkan oleh penyelidik keselamatan siber daripada TrendAI yang percaya aktiviti tersebut mungkin bertujuan mengenal pasti lokasi serta menjejaki pengguna rangkaian satelit itu di seluruh dunia.
Menurut penyelidik itu, syarikat Discover-Tech merupakan antara pembeli utama ruang iklan yang mensasarkan pengguna Starlink, termasuk di lebih 100 negara.
Aktiviti itu turut dikesan di beberapa negara yang mengehadkan atau melarang penggunaan Starlink.
Laporan penyelidikan yang diterbitkan sebelum ini merujuk pihak terbabit menggunakan nama kod “Shadow-Earth-79”.
Namun, sumber yang mengetahui siasatan tersebut memberitahu bahawa identiti sebenar yang dirujuk ialah Discover-Tech.

Pakar keselamatan menjelaskan bahawa sistem iklan digital moden boleh digunakan untuk mengumpul data lokasi dan maklumat peranti pengguna.
Keupayaan ini berpotensi membolehkan pihak tertentu menjejaki individu yang menggunakan perkhidmatan internet satelit, terutama di kawasan konflik atau lokasi sensitif.
TrendAI dalam laporan mereka menyimpulkan, berdasarkan kepada bukti yang dikumpul, mereka berkeyakinan tinggi, bahawa kehadiran pengiklanan SHADOW-EARTH-79 berfungsi sebagai infrastruktur penyasaran dan penjejakan, dan bukannya sebagai operasi pengiklanan komersial.
Siasatan berasingan oleh Citizen Lab dan Confiant turut mengaitkan Discover-Tech dengan teknik pengumpulan data melalui sistem pembidaan iklan.
Susulan penemuan itu, beberapa platform termasuk Google dan Comcast dilapor mengambil tindakan dengan menyingkirkan syarikat itu daripada rangkaian pengiklanan mereka.
Memetik laporan Reuters, SpaceX tidak memberikan respons terhadap dakwaan tersebut.
Discover-Tech dan ketua eksekutifnya juga tidak memberikan respons terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan sepanjang dua minggu yang lalu.
