iPhone 15 Tak Boleh Guna USB-C Android? Ini Yang Anda Patut Tahu

Pada minggu ini, kita telah mendengar khabar angin yang mendakwa kabel USB-C Android boleh memudaratkan siri iPhone 15 pengguna. Untuk pengetahuan anda, khabar angin tersebut bermula dari Foshan, Wilayah Guandong, China.


Asal Dakwaan USB-C Menjejaskan Peranti iPhone 15


Stor pihak ketiga di kawasan tersebut dilaporkan menasihat pelanggan agar tidak menggunakan kabel USB-C Android. Hal ini demikian kerana stor tersebut mendakwa kabel tersebut ada 9-pin di satu bahagiannya berbanding 11-pin yang sepatutnya.



Dan ia mendakwa faktor binaan sebegitu boleh menjejas dan merosakkan peranti iPhone di mana anda jangan risau kerana dakwaan itu bukanlah daripada pihak Apple sendiri.

Seterusnya, khabar angin tersebut telah sampai ke telinga akhbar Gizchina yang sememangnya terkenal dan hasilnya, terjadilah dakwaan kepada iPhone yang kita dengari sebelum ini.

Bolehkah Kabel USB-C 9-pin Mengancam / Menjejaskan iPhone 15?


Secara ringkas, kedua-dua jenis kabel USB-C 9-pin dan 11-pin sememangnya ada dan itu adalah spesifikasi faktor binaan kabel itu sendiri.

Untuk pengetahuan anda, kabel USB-C mampu menyokong bilangan maksimum 24-pin dengan 12-pin di setiap bahagiannya.

Selain itu, kabel ini bukan sahaja digunakan untuk mengecas, ia juga bertanggungjawab menjadi perantaraan kepada proses handshake, iaitu untuk mengawal data, penghantaran maklumat, pertukaran mod antara sumber kuasa dengan peranti, dan juga peranti dengan peranti yang lain.

Erti kata lain, setiap pin yang hadir itu mempunyai fokus, kelebihan dan tanggungjawab masing-masing. Sebagai contoh, kabel USB-C 2.0 yang digunakan siri iPhone 15 tidak mempunyai pin pada slot USB 2.0 Interface dan hijau seperti gambar di bawah.



Ketika kabel USB-C disambungkan dan proses handshake bermula, akan berlaku pertukaran maklumat dan data berkenaan nilai voltan dan ampere antara kedua-dua peranti.

Dan sekiranya maklumat dan data yang diberikan tidak serasi atau tepat, maka tiada penghantaran kuasa akan berlaku.

Tambahan lagi, pengguna juga perlu faham yang biarpun USB-C memiliki rupa paras yang sama tetapi ia mempunyai banyak jenis atau protokol.

Sebagai contoh, protokol USB2 (kabel USB-C di dalam kotak siri iPhone 15), protokol USB3, protokol USB-C dengan Thunderbolt 3/Thunderbolt 4 dan terbaru Thunderbolt 5.

Konklusinya


Oleh itu, tidak semestinya setiap slot kabel USB-C itu perlu dipenuhi dengan kehadiran pin sambungan. Jadi, tiada sebarang kemungkinan di mana iPhone boleh terjejas sekiranya menggunakan kabel USB-C Android atau/dan juga sebaliknya.

Tambahan lagi, Apple telah memperkenalkan port sambungan USB-C ini sejak 2015 lagi yang digunakan oleh siri MacBook dan iPad. Malah, dalam artikel INI juga telah mengatakan bahawa USB-C iPhone adalah mengikut standard piawaian USB-C.

Bukan itu sahaja, dalam laman sokongan rasmi Apple yang diterbitkan pada 20 September 2023 pun ada memberi perincian berkaitan USB-C dan menegaskan siri iPhone 15 boleh dicas menggunakan kabel yang memenuhi standard USB-C. Anda boleh rujuk menerusi gambar di bawah atau di laman INI.



Oleh itu, agak mustahillah untuk sesebuah peranti iPhone paling canggih pada tahun 2023 ini menjadi rosak hanya disebabkan oleh kabel USB-C Android sahaja.

{suggest}

Tidak mustahil, berkemungkinan stor pihak ketiga di Foshan itu mengeluarkan khabar angin tersebut adalah untuk menggalakkan pembeli di sana membeli kabel USB-C yang dikeluarkan atau dijual oleh mereka.

Namun, kami menasihatkan sekiranya anda mahu menggunakan kabel USB-C selain daripada Apple sendiri, pastikan anda membeli kabel USB-C yang berkualiti atau daripada jenama yang dipercayai seperti UGreen, McDodo, Anker, Aukey, Belkin, Baseus, Orico, Nomad dan lain-lain.

Beli Apple iPhone di Shopee - https://invl.io/cljwuif


Beli Apple iPhone di Lazada - https://invol.co/cljwuig


Sumber: Apple, Apple Insider