Antara yang disentuh semasa hari pertama persidangan semalam (4 Jun) ialah berkenaan dengan kemaskini terbaru bagi sistem operasi mereka, iOS 12. Selain iOS, sistem operasi lain seperti tvOS dan MacOS juga akan menerima kemaskini terbaru menurut pihak Apple.
Bercakap mengenai iOS 12, terdapat beberapa fungsi dan ciri baru yang menarik bakal dinikmati oleh pengguna peranti iPhone dan iPad tidak lama lagi. Ia termasuk fungsi Memoji, notifikasi yang telah dikategorikan serta panggilan video FaceTime secara berkumpulan.
Berkaitan dengan fungsi Memoji, ia boleh dikatakan sebagai satu naiktaraf bagi fungsi animoji yang tersedia pada peranti iPhone X. Melalui fungsi ini, pengguna boleh menghasilkan satu avatar 3D yang kelihatan seperti diri mereka sendiri. Fungsi ini dikatakan menyerupai fungsi AR Emoji yang diperkenalkan Samsung pada Galaxy S9. Namun berbanding AR Emoji yang membenarkan avatar bagi keseluruhan tubuh dihasilkan, Memoji cuma dapat menghasilkan avatar bagi bahagian wajah sahaja tanpa tubuh badan.
Bagi fungsi terbaru yang berkaitan dengan notifikasi berkumpulan pula, pengguna iOS tidak akan dipaparkan dengan senarai panjang notifikasi pada lock screen mereka lagi selepas ini. Ini kerana dalam kemaskini terbaru itu nanti, notifikasi pada lock screen berkenaan akan dikumpulkan mengikut kategori yang tersendiri. Sementara itu, Siri juga akan membantu anda dalam mencadangkan mana-mana notifikasi daripada satu-satu aplikasi yang boleh anda keluarkan daripada lock screen berdasarkan kadar penggunaan.
Manakala bagi FaceTime berkumpulan pula, anda kini boleh mengadakan panggilan video secara beramai-ramai sehingga 32 orang. Tambahan pula, dengan sambungan sedia ada di antara fungsi FaceTime dan iMessage, anda kini boleh memulakan sesi FaceTime melalui aplikasi iMessage. Pengguna juga diberi pilihan untuk mengaktifkan beberapa ciri menarik seperti Memoji atau sticker semasa membuat panggilan video melalui FaceTime.
Selain daripada tiga fungsi terbaru ini, kemaskini iOS 12 turut akan membawa kemaskini untuk beberapa aplikasi dan fungsi sedia ada seperti Do Not Disturb dan iBooks. iBooks akan dinamakan semula sebagai Apple Book pada kemaskini iOS 12 ini. Bagi prestasi peranti pula, Apple telah memberi fokus untuk meningkatkan kualiti prestasi kepada dua kali ganda lebih baik. Penggunaan CPU juga akan dipertingkat bagi memberi prestasi terpantas, dan akan diturunkan secara optimum apabila penjimatan perlu dilakukan.
Program persidangan yang dikenali sebagai Apple Worldwide Developers Conference (WWDC) 2018 ini akan berlangsung sehingga 8 Jun ini. Dan tentunya banyak lagi pemberitahuan berkenaan produk Apple akan disampaikan sepanjang tempoh tersebut. Sama-sama kita nantikan.
Berkaitan
- Redmi Note 6 Pro Akan Mula Dipasarkan Di Malaysia Pada 20 Oktober Ini
- Imej Rekaan CAD 360 Darjah Peranti OnePlus 6 Didedahkan
- Huawei Mate 30 Pro, Masih Lagi Android?
- Pocophone Mula Sertai Perang Sindiran, OnePlus Menjadi Mangsa Pertama
- Russia Minta Apple Bawa Keluar Aplikasi Telegram Daripada App Store
- Xiaomi Patenkan Rekaan Peranti Dengan Dwi-Kamera Swafoto Di Sisi Bawah Skrin
- Axon 9 Pro Dengan Rekaan Takuk Mewarnai Kemunculan Semula ZTE Ke Pasaran
- Huawei Mate 20 Pro Hampir Pasti Dijual Dengan Harga Lebih Murah Berbanding iPhone XS
- Huawei P20 Pro Bakal Jadi Yang Pertama Menerima Kemaskini EMUI 9
- Prekuel Siri Game Of Thrones, House of The Dragon