Reaksi Awal Mi 10T Pro - Snapdragon 865 Bawah RM2000

Tahun lalu, model Mi 9T dan Mi 9T Pro antara telefon pintar yang mendapat sambutan hangat dalam negara. Membawakan sejumlah spesifikasi terbaik dan seperti biasa dijual pada tanda harga yang cukup menarik.

Kini meneruskan legasi tersebut adalah keluarga Mi 10T yang baru sahaja diumumkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Menerusi penawaran terbaharu ini, dua peranti yang diperkenalkan adalah Mi 10T Pro dan Mi 10T.



Masing-masing akan dijual pada harga RM1999 (Pro) dan RM1699. Buat anda yang tertanya ke manakah variasi Lite, wakil Xiaomi menyatakan mereka belum dapat mengesahkan lagi kehadiran model tersebut. Sama ada ditawarkan di Malaysia atau tidak selepas ini, kita perlu nantikan pengumuman pengeluar.



Berkesempatan merasai Mi 10T Pro terlebih dahulu,  ini merupakan reaksi awal kami mengenainya.

Spesifikasi



  • Skrin 6.67 inci dengan kadar segar semula 144Hz

  • Snapdragon 865

  • RAM 8GB

  • Storan 128GB dan 256GB

  • Kamera belakang

    • 108MP

    • 13MP ultra lebar

    • 5MP makro



  • Kamera hadapan

    • 20MP



  • Bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W

  • MIUI 12 berasaskan Android 10


Sewaktu pelancaran awal di China sebelum ini, sebahagian peminat mengeluh kerana peranti flagship ini hanya didatangkan dengan skrin paparan dari jenis LCD. Berbeza dengan model terdahulu iaitu Mi 9T Pro yang dipasang dengan paparan AMOLED.

Walaupun begitu, Xiaomi menjelaskan bahawa paparan LCD yang digunakan pada Mi 10T Pro adalah lebih baik berbanding iPhone 11. Ia menyediakan kadar yang lebih tinggi dari segi kadar semula 144Hz, ketumpatan piksel, kadar kontras serta tahap kecerahan sehingga 650 nits. Oleh kerana penggunaan LCD, peranti ini tidak mempunyai ciri imbasan dalam paparan.



Ia lebih berat (218g) sedikit berbanding siri Mi 10 (208g), terasa kukuh dalam pegangan tetapi ketiadaan paparan melengkung, menjadikan Mi 10 lebih selesa dipegang.



Panel hadapan, belakang dan bahagian lensa dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5. Namun, panel belakangnya dengan kemasan berkilau kelihatan bertebaran dengan cap jari diserata bahagian. Adalah lebih baik untuk menyarungkannya dengan sarung pelindung yang disediakan didalam kotak.



Peminat fon telinga berwayar juga mungkin akan hampa kerana Mi 10T Pro tidak mempunyai bicu audio 3.5mm, tetapi masih mengekalkan ciri IR Blaster yang sudah sinonim dengan peranti Xiaomi.

Kapsyen: Terdapat dua slot untuk kad SIM nano. Tiada slot kad MikroSD.


Untuk reaksi lebih lanjut lagi boleh tonton video Unboxing kami. Bagi video ulasan pula, ia bakal menyusul tidak lama lagi.

https://www.youtube.com/watch?v=63UXGr2VpWw&feature=youtu.be&ab_channel=WiserMy