Vivo Y17 Peranti Tri-Kamera Berharga RM999, Dijual Secara Rasmi Bermula 11 Mei

Vivo Malaysia memulakan bulan Mei ini dengan pengenalan sebuah peranti kelas pertengahan baru, Vivo Y17.

Pra-tempahan peranti ini sudah dibuka sejak 4 Mei yang lalu dan bakal tamat pada 10 Mei 2019. Penjualan secara fizikal pula telah dijadualkan bermula 11 Mei, menandakan penawaran secara rasmi Vivo Y17 untuk pasaran tempatan. Menurut Vivo Malaysia, pembeli Vivo Y17 bermula 11 Mei akan menerima aksesori percuma berupa pembesar suara Bluetooth bersama-sama waranti tambahan.



Vivo Y17 tampil dengan tri-kamera belakang gabungan lensa utama 13MP, 8MP lensa sudut super-lebar sokongan AI, dan kamera 2MP untuk kesan bokeh. Kamera 20MP pula bertugas untuk merakam foto dari bahagian hadapan.

Ciri-ciri lain yang turut dipertaruhkan adalah bateri berkapasiti 5000mAh dengan pengecasan pantas Dual-Engine Fast Charging, RAM 4GB dipadankan bersama storan 128GB serta cip pemprosesan MediaTek MT6765. Warna-warna yang ditawarkan adalah Mineral Blue dan Mystic Purple.

Vivo Y17 dijual pada harga RM999 dan anda boleh dapatkannya diseluruh pengedar sah Vivo Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai Vivo Y17, boleh layari Vivo Malaysia atau Vivo Store.