Jika anda masing ingat, terdapat satu screensaver komputer yang cukup popular pada sistem operasi Windows di era tahun 1990an dahulu.
Malah ia dinobatkan oleh Gizmodo sebagai screensaver terbaik sepanjang zaman.
Screensaver itu adalah siri paip 3D yang dihasilkan secara rawak dengan semuanya saling berkait antara satu sama lain, dalam pelbagai warna yang memenuhi skrin komputer apabila ia tidak digunakan.
Bagi sebahagian besar dari kita mungkin tidak mengambil kisah pun tentang kewujudannya atau sebab mengapa Windows menggunakan paip 3D sebagai screensaver Windows mereka.
Tetapi bagi mereka yang tertanya-tanya sebabnya pula, anda kini sudah ada jawapannya.
Ia dijelaskan oleh bekas pembangun Microsoft bernama Raymond Chen dalam laman rasmi Microsoft tentang asal usul screensaver tersebut.
Dalam coretannya yang panjang itu menceritakan, salah seorang rakan lamanya (tanpa menyebut namanya) memberitahu dia bagaimana rakannya itu menambah Paip 3D itu pada Windows.
“Pada masa itu, dia (rakannya) berada dalam pasukan Windows OpenGL. Mereka telah berjaya melaksanakan API dengan pecutan perkakasan, tetapi tidak mempunyai apa-apa untuk menunjukkannya. Windows NT 3.5 pula sangat hampir dengan penghantaran dengan sokongan OpenGL, tetapi tiada apa-apa dalam produk yang memberitahu pengguna bahawa ciri ini wujud. Dia terpaksa mencari cara untuk mengiklankan ciri tersebut tanpa mempertaruhkan kestabilan produk.”
Chen berkata, dari situlah rakannya itu mendapat idea untuk mempamerkan kesan OpenGL dengan screensaver. Dengan cara itu, jika terdapat sebarang masalah dengan produk selepas Windows NT 3.5 dihantar, Microsoft hanya boleh memberitahu pengguna untuk tidak menggunakan penyelamat skrin OpenGL itu.
“Maaf, jangan gunakan screensaver ini.”
Ini berlaku pada hari-hari sebelum capaian Internet meluas, dan lama sebelum ia menjadi kebiasaan bagi sistem pengendalian untuk mengemas kini secara automatik.
Ahli pasukan itu memutuskan untuk menjadikannya pertandingan di kalangan pasukan OpenGL.
Ahli boleh membuat screensaver tersendiri mereka dan kemudian mengundi kegemaran mereka. Yang menang akan dipilih untuk dimasukkan ke dalam Windows NT 3.5.
Dari situlah pembangunan pelbagai rupa screensaver wujud dengan salah satunya adalah screensaver Paip 3D, beserta dengan screensaver lain seperti Teks 3D, Maze 3D dan Objek Terbang 3D.
Selepas itu, rakan Chen itu telah menghantar e-mel kepada seluruh pasukan pembangunan Windows NT dengan arahan tentang cara memasang screensaver baharu ini dan tempat untuk menghantar undian mereka.
Nasib menyebelahi mereka apabila salah seorang yang melihat screensaver baharu ini ialah ahli pasukan pemasaran yang mencubanya pada malam sebelum lawatan yang telah dijadualkan di New York City dengan majalah utama industri komputer.
Dia menyukai screensaver tersebut dengan respon,
“Anda boleh membatalkan undian. Kami menambah kesemuanya pada produk!”
Jadi, dengan satu e-mel itu, Paip 3D dan semua screensaver 3D yang lain telah ditambahkan pada sistem operasi Windows.
Walau bagaimanapun, Microsoft mula membuang screensaver itu bermula dengan Windows Vista.
Tetapi, jika anda ingin kembalikan nostalgia itu, anda boleh mencubanya dengan layari https://1j01.github.io/pipes/ yang akan memainkan screensaver Paip 3D terus dari pelayar anda.
{suggest}
Rujukan: Microsoft Devblogs