Kita sudah sedia maklum yang setiap peranti elektronik dibeli didatangkan sekali sekurang-kurangnya 1 tahun waranti. Tidak terhenti di situ, ada juga jenama serta penjual berdaftar yang menawarkan pakej pembelian/langganan untuk pelindungan bagi peranti tersebut atau bahasa lain, extended warranty.
Namun, timbul persoalan, adakah perkara ini dibenarkan dalam Islam?
Menurut soalan yang diajukan di laman mufti Selangor, ada beberapa situasi yang diberikan. Contohnya, seseorang membeli iPhone 13 dan ditambah RM200 (pelan pelindungan) yang mana dibayar sewaktu pembelian.
Seterusnya, ada juga situasi yang mana pelan pelindungan dibeli untuk tahun kedua disebabkan risau akan kos baik pulih. Akhir sekali, ada juga situasi di mana pelan pelindungan ditawarkan untuk dibeli dalam tempoh 60 hari selepas pembelian peranti.
Berdasarkan kesemua situasi disebut, berikut adalah jawapan daripada laman mufti Selangor.
Dibenarkan menjual barang bersama dengan waranti servis baik pulih dalam tempoh tertentu atau disebut standard warranty. Ini termasuk dalam bab al-Wa`d atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli. Kedua-duanya adalah diharuskan.
Tetapi jika membeli kad jaminan atau extended warranty yang berasingan daripada barang seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru, Ini adalah tidak harus kerana mengandungi gharar. Ini kerana dia membeli atau membayar suatu yang bersifat mungkin dan tidak tentu; sama ada dia memperoleh manfaat daripada servis baikpulih tersebut atau mungkin tidak dapat.
Kebanyakan ulama kontemporari memutuskan ia haram. Ini kerana pembelian tersebut melibatkan ketidakpastian sama ada sesuatu yang dibeli itu ada atau tidak atau berlaku atau tidak. Dengan kata lain, kerosakan adalah suatu yang tidak pasti akan berlaku, namun bayaran sudah dibuat. Inilah dipanggil ketidakpastian atau gharar dan perjudian atau qimar, satu bentuk judi yang diharamkan. Asasnya seperti insuran konvensional. Justeru, jika dilakukan atas konsep takaful, maka dibenarkan.
Berdasarkan ketiga-tiga situasi adalah dalam kategori extended warranty yang mana ia adalah diharamkan sebagaimana sebab-sebab di atas. Pengharaman ini sama kaedahnya sebagaimana haramnya insurans disebabkan gharar (ketidakpastian) dan qimar (perjudian). Adapun sekiranya ia didasari dengan takaful, maka diharuskan atas aqad tabarruq.
Isu pembelian waranti secara berasingan atau jaminan lanjutan, telah pun dijawab sebelum ini menerusi laman rasmi maktabah al bakri.
Dapat disimpulkan bahawa hukum harus bagi waranti standard. Sementara, membeli waranti secara berasingan adalah tidak dibenarkan kerana ia mengandungi unsur gharar.
Anda boleh baca lanjut di sini – https://maktabahalbakri.com/3150-membeli-waranti-secara-berasingan/ atau sini – https://maktabahalbakri.com/1333-hukum-membeli-jaminan-lanjutan-extended-warranty/.
Sumber: mufti Selangor, xaviernaxa, maktabahalbakri