Ikuti 5 Langkah Mudah Ini Demi Keselamatan Siber Anda Di Tahun 2021 - Pt 1

Sempena tahun 2021 yang baru sahaja tiba, pastinya ramai yang mempunyai pelbagai azam tahun baru yang ingin dicapai dalam tahun ini.

Jadi apa kata anda selitkan meningkatkan keselamatan siber anda pada tahun ini sebagai salah satu azam tahun 2021 anda.

Ini kerana jika melihat kembali kepada laporan status keselamatan siber secara global, Malaysia merupakan antara negara teratas yang menjadi lubuk kepada penggodam.

Sebagai contoh, pihak keselamatan Kaspersky mendapati Malaysia tersenarai dalam 4 negara teratas dari 7 negara di kawasan Asia Tenggara yang aktif diserang penggodam.

Malah Malaysia turut tersenarai dengan berada di kedudukan ke-10 sebagai negara yang terkesan paling teruk disebabkan oleh kes kecurian data.

Disebabkan itulah, Majlis Keselamatan Negara menerusi Agensi Keselamtan Siber Negara (NACSA) telah menyediakan panduan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber kepada pengguna di Malaysia.

Berikut adalah 5 langkah mudah yang disyorkan akan dapat meningkatkan keselamatan siber anda:-

1. Gunakan kata laluan



  • Pengguna disyorkan menggunakan kata laluan yang kreatif dengan menggabungkan penggunaan huruf kecil/besar, nombor dan simbol dalam kata laluan mereka. Sebagai contoh *Har1=T^ll. Penggunaan kata laluan sebegini dan juga panjang akan menyukarkan proses penggodaman

  • Elakkan mendedahkan kata laluan kepada orang lain

  • Sentiasa menukar kata laluan secara berkala

  • Elakkan menggunakan kata laluan yang sama berulang kali

  • Hantar dokumen rasmi kerajaan dengan menggunakan kaedah penyulitan (encrypt)

  • Jangan menghantar kata laluan bersama-sama dengan dokumen rasmi kerajaan.


2. Mengemas kini perisian keselamatan 



  • Pengguna disyorkan memasang perisian keselamatan terkini ke dalam komputer dan peranti pintar.

  • Sentiasa mengemas kini perisian keselamatan

  • Tidak menggunakan perisian cetak rompak atau palsu. Pastikan hanya yang tulen.


3. Simpan dan lindungi maklumat



  • Jangan memuat nasik dokumen rasmi kerajaan ke dalam storan awan awam

  • Sentiasa imbas peranti storan sebelum menggunakannya

  • Sentiasa sediakan salinan pendua (back up) maklumat digital secara berkala

  • Jangan tinggalkan komputer dan gajet anda tanpa pengawasan

  • Putuskan sambungan internet jika tidak menggunakannya

  • Simpan maklumat rasmi ditempat berkunci dan selamat.


4. Jangan mudah terpedaya 



  • Jangan mudah terpedaya dengan kandungan yang dipaparkan di dalam laman-laman sesawang, blog atau e-mel yang diragui sumbernya.

  • Semak dan rujuk terlebih dahulu sesuatu berita atau maklumat yang dikongsikan dari sumber yang sahih.


5. Gunakan internet dan media sosial dengan beretika 



  • Jangan menggunakan alamat e-mel dan kata laluan rasmi dalam akaun media sosial

  • Pastikan sentiasa log keluar dari akaun media sosial apabila tidak menggunakannya

  • Jangan berkongsi maklumat peribadi dan maklumat berkaitan tugas rasmi di internet atau media sosial

  • Jangan memuat turun aplikasi yang diragui

  • Tidak menggunakan media sosial semasa waktu pejabat

  • Sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi. Jangan sampai mendedahkan maklumat tugasan rasmi

  • Tidak membuat komen melibatkan isu agensi/organisasi atau serangan peribadi

  • Berkongsi itu bagus tapi dapatkan dahulu kebenaran dari pihak berkaitan jika ia melibatkan hak cipta dan harta intelek

  • Jangan menggunakan sambungan wi-fi awam untuk kerja-kerja rasmi atau perbankan

  • Kenali rakan media sosial anda


Diharapkan dengan mengikuti 5 langkah mudah ini, ia akan dapat membantu anda meningkatkan keselamatan anda di alam siber ketika sedang asyik melayari internet.

Sumber: MKN

Berkaitan