Huawei Nova 7i Rasmi Untuk Pasaran Malaysia - Kirin 810, Kuad Kamera Dan Bateri 4200mAh

Sebelum ini Huawei Malaysia telah mengumumkan pra-tempahan untuk peranti Huawei Nova 7i sebelum ketibaannya secara rasmi pada 14 Februari. Jadi tarikh tersebut telah tiba dan peranti ini telah selamat mendarat di pasaran tempatan.

Peranti ini sebenarnya sama sahaja dengan model Huawei Nova 6 SE yang telah dilancarkan di China beberapa bulan lalu. Untuk pasaran Malaysia ia hanya bertukar nama sahaja. Bermula dengan paparan ia mempunyai skrin bersaiz 6.4 inci dengan panel LCD. Dengan saiz skrin tersebut, peranti tersebut mempunyai 398 PPI dengan resolusi FullHD+.

Untuk kamera belakang ia mempunyai 4 lensa dengan 48MP (f/1.8) utama + 8MP (f/2.4) ultralebar + 2MP (f/2.4) makro + 2MP (f/2.4) depth. Kamera belakang disusun secara kemas dalam satu modul petak. Manakala untuk rakaman video pula ia hanya menyokong pada tetapan 1080p 30fps sahaja.

Kamera swafoto diletakkan dalam skrin dengan rekaan berlubang. Ia bersaiz 16MP dengan aperture f/2.0.

Nova 7i dijana oleh cip kelas pertengahan Kirin 810 dengan RAM 8GB dan 128GB storan dalaman berasaskan UFS 2.1. Terdapat juga penambahan ruangan melalui kad NM Huawei sehingga 256GB. GPU pula menggunakan Mali-G52 MP6 dari ARM. Peranti menjalankan EMUI 10.0.1 yang berasaskan Android 10. Peranti ini dimuatkan dengan Huawei Mobile Services dan bukannya servis Google. Fungsi lain termasuklah terdapat pengimbas cap jari pada bahagian sisi, Bluetooth 5.0 serta bicu audio 3.5mm.

Melengkapkan peranti adalah bateri bersaiz 4,200mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 40W Huawei SuperCharge dan dicas menggunakan USB Type-C.



Huawei Nova 7i dijual secara rasmi di Malaysia dengan harga RM1,099 dalam 3 pilihan warna iaitu Crush Green, Sakura Pink, dan Midnight Black. Jika anda pra-tempah peranti ini bermula 14 Februari, anda akan mendapat Huawei Band 4 secara percuma.

Sumber: Huawei Nova 7i