Huawei Nova 3e, Peranti Dengan Kamera Swafoto Premium Pada Harga Mampu Milik

Rekaan takuk ternyata kurang digemari oleh pengguna peranti Android di peringkat global, namun para pengeluar terpaksa mengikut peredaran semasa pasaran yang menginginkan paparan skrin penuh pada peranti telefon pintar mereka. Jika sebelum ini rekaan ini hanya digunapakai pakai peranti kelas perdana sahaja, kini banyak peranti kelas pertengahan turut menggunakannya. Salah satu daripada peranti tersebut ialah Huawei Nova 3e.

Untuk pengetahuan, Huawei Nova 3e ini juga dikenali sebagai Huawei P20 Lite di pasaran luar negara. Ia merupakan peranti yang sesuai untuk pengguna yang mahukan peranti yang bergaya dengan kualiti kamera swafoto yang cantik tanpa memikirkan sangat berkenaan tahap spesifikasi peranti. Ikuti ulasan daripada kami selepas menggunakan peranti ini.

1.Rekaan Luaran (7.2/10)



Seperti yang dinyatakan tadi, peranti ini merupakan versi 'Lite' bagi peranti Huawei P20. Jadi, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila peranti ini mempunyai rekaan luaran yang hampir sama dengan peranti kelas perdana Huawei tersebut. Penggunaan panel plastik yang menyerupai kaca pada bahagian belakang peranti memberikan sedikit pantulan cahaya namun tiada perubahan warna yang jelas dapat dilihat sekiranya memandang peranti dari sudut berbeza.

Walaubagaimanapun, penggunaan panel tersebut menyebabkan kesan cap jari mudah untuk melekat pada belakang peranti. Agak menjengkelkan apabila terpaksa mengelap belakang peranti dengan kadar yang kerap.



Huawei Nova 3e ini mempunyai kamera utama dwi-lensa yang dipasang secara menegak di sudut atas sebelah kiri panel belakangnya. Di bahagian bawah kamera pula, terdapat lampu flash serta tulisan 'Dual Lens' yang pada kami tidak mengganggu atau mencacatkan rupa bahagian belakang peranti ini. Di bahagian tengah panel belakang peranti ini pula telah dipasangkan pengimbas cap jari bagi kegunaan nyahkunci peranti.



Peranti ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Klein Blue dan Midnight Black. Peranti yang kami gunakan adalah berwarna Klein Blue. Peranti ini masih lagi mempunyai bicu audio 3.5 mm selain pot USB Type-C bagi tujuan pengecasan. Pembesar suara juga diletakkan di bahagian bawah peranti dan ia sedikit mengganggu sistem bunyi semasa bermain permainan video.



Pada bahagian hadapan peranti pula, seperti anda ketahui ia menggunakan reka bentuk takuk bagi memberi ruang untuk kamera hadapan. Nova 3e ini menggunakan skrin jenis IPS LCD berukuran 5.84 inci dengan resolusi FHD+. Dengan ketebalan 7.4 mm dan berat sekitar 145 gram, peranti ini agak selesa dipegang dan mudah untuk digunakan menggunakan sebelah tangan.

2.Antaramuka (8.2/10)

Huawei Nova 3e menggunakan antaramuka EMUI 8.0 yang berlandaskan sistem Android Oreo 8.0. Namun pada pandangan kami, make-up yang ada pada peranti ini tidak keterlaluan dan boleh dikatakan agak kemas.

Walaupun aplikasi bloatware dipasang agak banyak, namun bagi sesetengah pengguna, mereka mungkin mendapati bahawa aplikasi-aplikasi berkenaan berguna kepada mereka dan mereka tidak lagi perlu memuat-turun aplikasi daripada pihak ketiga.

Pada tetapan asal peranti ini, ia tidak menggunakan fungsi app-drawer, namun anda boleh mengaktifkannya melalui halaman tetapan peranti. Navigasi pada Home screen peranti ini juga tidak jauh berbeza dengan peranti yang menggunakan antara muka EMUI sebelum ini.

 

Pengguna boleh swipe dari atas ke bawah untuk mengakses notifikasi dan control center, manakala tiada sebarang apa yang terjadi sekiranya anda swipe dari atas ke bawah. Jika anda mengaktifkan fungsi app-drawer, anda perlu tekan pada butang app-drawer di bahagian tengah bawah peranti.

Selain itu, pengguna juga boleh memindah keluar butang navigasi pada skrin dengan cuma menekan butang arrow di bahagian penjuru kiri bawah skrin. Pengguna juga boleh menggunakan pelancar Nova Launcer yang sudah siap dipasang pada peranti ini.

3. Spesifikasi Dalaman (6.8/10)

Peranti Huawei Nova 3e ini dikuasakan oleh cip pemprosesan keluaran Huawei sendiri iaitu HiSilicon Kirin 659. Cip yang sama turut digunakan pada peranti kelas pertengahan Huawei yang terdahulu seperti Huawei Nova 2i.



Ia agak mengecewakan kerana kami menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripada Huawei memandang peranti ini merupakan versi Lite bagi siri Huawei P20. Kami berpendapat adalah lebih baik jika Huawei menggunakan siri cip pemprosesan Kirin-900 pada peranti ini.

Peranti ini hadir dengan tiga pilihan storan dalam iaitu 32GB, 64GB dan 128GB namun variasi 128GB hanya tersedia bagi pasaran China dan Malaysia sahaja. Kami diberi peluang untuk menggunakan variasi tertinggi iaitu 128 GB. Bagi sokongan memori pula,Huawei Nova 3e ini disokong oleh 4GB RAM.



Bagi peminat permainan video, kami tidak menyarankan anda untuk menggunakan Nova 3e ini. Ketika kami mencuba permainan PUBG Mobile, ia cuma dapat dimainkan pada tetapan grafik rendah sahaja. Tetapi permainan MOBA seperti Mobile Legends dapat dimainkan tanpa sebarang masalah.

Manakala berkaitan sokongan baterinya pula, peranti ini didatangi dengan bateri berkapasiti 3,000 mAh. Dengan kapisiti seperti ini, peranti ini akan dapat bertahan selama satu hari tanpa sebarang masalah jika anda tidak menggunakannya untuk bermain permainan video dengan kerap.



Walaupun hadir dengan sokongan pengecasan pantas, kami dapati peranti ini memerlukan sehingga kira-kira dua jam untuk pengecasan penuh daripada tahap bateri sifar. Namun pengecasan selama 30 minit akan dapat membekalkan kuasa bateri sehingga 53%, agak memberansangkan pada kami.

4.Kamera (7.8/10)

Jika sebelum ini peranti Lite sering menggunakan kamera satu lensa sebagai kamera utama, ia berbeza pada peranti Nova 3e ini. Ia menggunakan kamera dwi-lensa 26MP + 2MP dengan aperture f/2.2. Lensa kedua hanya digunakan bagi menghasilkan fungsi bokeh pada imej potret.



Walaupun Nova 3e ini tidak menggunakan lensa Leica, menerusi pandangan pertama pastinya ramai yang akan tersilap dengan menjangkakan peranti ini adalah model Huawei P20. Ini kerana kedudukan kamera dwi-lensanya yang dipasang secara menegak dan diletakkan yang ditempat yang sama seperti peranti kelas perdana tersebut.

Dari segi prestasi kamera utamanya, pada pendapat kami ianya pada tahap memuaskan. Kualiti imej yang ditangkap adalah baik namun tiada sebarang keistimewaan yang mampu membuat kami tertarik padanya.



 





Kualiti gambar pada pengcahayaan rendah pula adalah sederhana. Noise kelihatan agak kasar ketika mengambil gambar pada waktu malam. Boleh kami katakan prestasi kameranya hampir sama dengan peranti Nova 2i.



Kapsyen: Kamera hadapan merupakan antara perkara yang terbaik pada peranti Nova 3e ini. Dilengkapi kamera dengan lensa 24MP, peranti ini akan dapat mengambil imej swafoto yang sangat baik. Fungsi bokeh juga dapat digunakan pada kamera hadapan peranti ini. 




Kapsyen: Kualiti imej yang diambil pada suasana kurang cahaya juga adalah amat memuaskan. Bagi rakaman video pula, peranti ini boleh merakam pada resolusi 1080p, namun agak mengecewakan apabila video yang dirakam akan menampakkan gegaran akibat daripada ketiadaan sokongan penstabilan imej EIS mahupun OIS. 


5.Sistem Nyahkunci (7.2/10)



Huawei menyediakan dua pilihan bagi ciri keselamatan untuk kegunaan pengguna pada peranti ini iaitu sistem pengesan wajah dan pengimbas cap jari. Pengimbas cap jari yang berada dibelakang peranti berfungsi dengan baik walaupun pada keadaan tangan yang sedikit lembap. Bagi pengesan wajah pula, ia dapat bertindak balas dengan pantas semasa suasana pengcahayaan yang baik, namun gagal berfungsi dengan baik terutamanya ketika berada di luar rumah pada waktu malam.

Keseluruhan (7.4/10)



Huawei Nova 3e dijual pada harga terkini sekitar RM 1,199 dan pada harga berkenaan, boleh kami katakan ianya agak berlebihan dengan prestasi yang ada pada peranti ini. Kekuatan yang ada pada Huawei Nova 3e ini antaranya ialah ia merupakan sebuat peranti yang sangat cantik dan elegan dengan kualiti kamera swafoto yang memberansangkan. Selain itu, peranti ini turut hadir dengan fungsi pengesan wajah yang selalunya ada pada peranti kelas perdana.

Keupayaan kamera utamanya juga agak memuaskan walaupun gagal menangkap gambar dengan baik pada suasana kurang pengcahayaan rendah. Bagaimanapun, seperti yang kami nyatakan sebelum ini, telefon pintar ini tidak terlalu sesuai bagi penggemar permainan video yang memerlukan sokongan spesifikasi yang tinggi. Pengalaman kami bermain PUBG Mobile adalah kurang memuaskan walaupun sudah menggunakan tetapan grafik paling rendah.

Keseluruhannya, sekiranya anda gemar untuk mengambil gambar bagi kegunaan media sosial dan tidak menggunakan telefon pintar sebagai medium untuk anda bermain permainan video, Huawei Nova 3e adalah peranti yang sesuai dengan anda.