Huawei baru sahaja melancarkan dua peranti baru dalam siri Huawei Nova untuk pasaran China. Huawei Nova 3 dan Nova 3i, kedua-duanya adalah merupakan peranti kelas pertengahan yang hadir dengan reka bentuk moden dan premium.
Huawei Nova 3 adalah model yang mempunyai spesifikasi yang hampir sama dengan peranti kelas perdana di mana agak mengejutkan apabila pihak Huawei mengklasifikasikan ia sebagai kelas pertengahan. Sebagai permulaan, peranti ini hadir dengan 4 kamera sama seperti model Nova 3i.

Sistem cip yang digunapakai pula adalah cip paling berkuasa daripada HiSilicon buat masa kini iaitu Kirin 970. Cip yang sama telah digunakan pada peranti kelas perdana Huawei yang lain antaranya ialah P20 Pro dan Honor 10.
Peranti ini juga akan hadir dengan sokongan GPU Turbo yang didakwa akan memberikan pengalaman bermain permainan video yang mengujakan kepada pengguna. Buat masa ini, teknologi berkenaan dilaporkan hanya akan menyokong permainan PUGB Mobile dan Mobile Legends sahaja.

Spesifikasi lain bagi peranti pula antaranya ialah ia menggunakan skrin bertakuk LCD 6.3 inci FHD+, bateri berkapasiti 3,750mAh dengan pengecasan pantas Huawei Super Charge serta sistem nyahkunci pengimbas cap jari dan pengesanan wajah.
Beralih kepada peranti Nova 3i pula. Dari segi luaran, ia nampak seakan sama dengan model Nova 3. Namun, peranti ini mempunyai spesifikasi yang agak rendah berbanding ‘abangnya’ itu. Sebagai contoh, Nova 3i menggunakan cip kelas pertengahan terkini HiSilicon Kirin 710.

Dari segi spesifikasi dalaman pula, selain sistem cip yang telah dinyatakan, peranti ini akan dijana dengan memori 4GB RAM dengan simpanan dalaman 128GB serta satu lagi variasi iaitu 6GB RAM dan 64GB ROM. Ia juga akan hadir dengan sokongan teknologi GPU Turbo.

Harga pasaran di China untuk Huawei Nova 3 adalah pada 2999 Yuan(~RM 1,810), manakala Nova 3i pula dijual pada harga 1999 Yuan(~RM 1,206) untuk versi RAM 4GB/ 128GB manakala versi RAM 6GB/ 64GB diletakkan pada harga 2,199 Yuan(~RM 1,328). Huawei akan melancarkan kedua-dua peranti ini buat pasaran Malaysia pada 19 Julai dan kita akan mengetahui lebih lanjut tentang harga jualan tempatan dalam majlis itu nanti.