Huawei MatePad Pro Dilancarkan - Tablet Berkuasa Dengan Rekaan Kamera Berlubang

Sebermula pengenalan tablet Android oleh Huawei, ia dikenali dengan nama MediaPad. Namun, hari ini Huawei mengubah penamaan tersebut di bawah nama baharu iaitu MatePad dengan Huawei MatePad Pro.

Tablet ini membawa spesifikasi tinggi dan berkuasa serta merupakan tablet pertama yang mempunyai rekaan kamera berlubang.

Bermula dengan skrin, ia mempunyai saiz 10.8 inci AMOLED, resolusi QuadHD (2560x1660) dengan nisbah 16:10. Kamera swafoto yang direka berlubang itu pula mempunyai lensa 8MP manakala kamera belakang hanya satu lensa sahaja dengan 13MP.

Tablet ini dijana oleh Kirin 990 yang dipadankan dengan 6/8GB RAM serta 128/256GB storan dalaman. Dari segi perisian, ia menjalankan EMUI 10 yang berasaskan Android 10 dengan sokongan GPU Turbo 3 untuk prestasi permainan yang dipertingkatkan. Tablet ini bagaimanapun tidak mempunyai sokongan servis Google rasmi sepertimana kebanyakan peranti Huawei yang lain.

Huawei announces the MatePad Pro, the first tablet with a punch-hole display

Bateri tablet bersaiz 7,250mAh dengan sokongan pengecasan pantas 40W Huawei SuperCharge dan juga pengecasan tanpa wayar 15W. MatePad Pro juga boleh mengecas peranti lain juga tanpa wayar selaju 7.5W.

Bersama-sama dengan tablet, Huawei turut memperkenalkan aksesori stylus M-Pen yang menyokong sehingga 4096 sensitiviti tekanan. Namun ia dijual berasingan dengan tablet. Tablet juga mempunyai tetapan 4 pembesar suara yang diharmonikan oleh Harman Kardon.

Huawei announces the MatePad Pro, the first tablet with a punch-hole display

MatePad Pro mempunyai 2 versi. Satu dengan rangkaian WiFi sahaja, satu lagi dengan sokongan LTE. Terdapat juga versi 5G yang bakal diperkenalkan pada suku pertama 2020 nanti.

Terdapat dua pilihan warna iaitu hitam dan putih. Huawei MatePad Pro dijual di China bermula pada harga CNY3,299(~RM1,959) hingga CNY4,499 (~RM2,672) untuk versi tertinggi dengan LTE. Setakat ini masih belum kedengaran lagi untuk tablet ini di pasaran luar dari China.

Berkaitan