Huawei Mate 40 RS Turut Diperkenalkan - Dilengkapi Sistem Kamera Paling Berkuasa

HUAWEI baru sahaja melancarkan Siri Mate 40 dengan tiga model di bawahnya iaitu Mate 40, Mate 40 Pro dan Mate 40 Pro+. Selain itu, HUAWEI turut mengumumkan Porsche Design Huawei Mate 40 RS.

Peranti ini tampil dengan rekaan mewah yang berinspirasikan kereta sport. Sama seperti Mate 40 Pro dan Mate 40 Pro+, ia hadir dengan janaan cip paling berkuasa Kirin 9000.



Dari segi memori, ia dilengkapi dengan RAM 12GB serta storan dalaman sehingga 512GB. Ia ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Ceramic White dan Ceramic Black.



Dimuatkan dengan sistem hexa-kamera, ia merupakan sistem kamera paling berkuasa. Mate 40 RS mempunyai tetapan lensa yang terdiri daripada 50MP RYYB f/1.9 (utama), 20MP f/1.8 (sudut lebar Cine), 8MP 10x zum optikal f/4.4 dengan OIS (periskop), 12MP 3x zum optikal dengan OIS f/2.4 (telefoto), lensa TOF 3D serta sensor suhu warna.



Pada bahagian bawah sensor suhu warna, terdapat sensor Infrared Thermo yang mempunyai keupayaan untuk mengimbas suhu dari -20°C hingga 100°C.

Antara ciri lain yang dimuatkan pada Mate 40 RS adalah penarafan IP68 serta sokongan pengecasan pantas 66W HUAWEI SuperCharge dan 50W Wireless HUAWEI SuperCharge.

Untuk pasaran Eropah, ia ditawarkan pada tanda harga €2,300 iaitu sekitar RM11,277.