Huawei Mate 20 Pro Diperkenalkan Secara Rasmi Dengan Kamera Ultra-Wide & Pengecasan Terpantas

Masa yang ditunggu telah tiba, Huawei Mate 20 Pro telah pun dilancarkan secara rasmi sebentar tadi. Peranti tersebut telah diperkenalkan kepada umum pada satu majlis yang diadakan di London, UK.



Seperti diwar-warkan sebelum ini, peranti ini hadir dengan skrin dwi-lengkung OLED bersaiz 6.39-inci dengan resolusi FHD+, sistem imbasan cap jari dari dalam skrin serta sistem cip pemprosesan terbaru HiSilicon Kirin 980 yang disokong oleh teknologi dwi-NPU.

Ia disokong dengan memori 6GB RAM dan ruang simpanan dalaman sebesar 128GB. Sekiranya tidak mencukupi, pengguna juga boleh menggunakan kad nanoSD yang diperkenalkan oleh Huawei.



Kehadiran tiga lensa kamera utama pada peranti ini bukan lagi rahsia. Ia hadir dengan lensa 40MP kamera utama, 20MP kamera ultra-wide dan 8MP kamera telefoto. Bagi kamera swafoto pula, ia didatangkan dengan lensa 24MP yang menyokong imbasan wajah 3D.

Seperti biasa, Huawei mendatangkan sokongan AI pada kamera peranti ini. Bezanya, kali ini ia bukan sahaja menyokong tangkapan gambar, malah turut dapat meningkatkan kualiti rakaman video.



Dari segi bateri, Mate 20 Pro ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti 4,200mAh yang menyokong pengecasan pantas dan pengecasan tanpa wayar. Menariknya, peranti ini juga boleh digunakan sebagai panel pengecasan tanpa wayar, sekaligus membolehkannya berkongsi tenaga dengan peranti lain yang menyokong pengecasan tanpa wayar.



Selain itu, Huawei turut memperkenalkan pengecasan pantas baru 40W yang membolehkan Mate 20 Pro ini dicas sehingga 70% dalam masa 30 minit. Ia juga mempunyai pengecasan tanpa wayar terpantas di dunia dengan 15W aliran kuasa.



Sama seperti Huawei Mate 20, model ini turut hadir dengan EMUI 9 berlandaskan Android 9 Pie. Bagi variasi warna pula, pembeli akan mempunyai lima pilihan warna untuk model ini iaituĀ emerald green, midnight blue, black, pink gold dan twilight.

Buat masa sekarang, tiada sebarang maklumat mengenai ketibaannya ke tanahair. Namun, berdasarkan beberapa laporan sebelum ini, Huawei dijangka tidak akan menunggu lama untuk membawanya ke pasaran tempatan.