Huawei Mate 20 Kini Rasmi - Peranti Pertama Dengan Kirin 980, Sokongan NanoSD & Takuk Kecil

Malam ini(16 Okt), Huawei telah pun mengadakan satu majlis di Kota London bagi mengumumkan beberapa peranti baru keluaran mereka. Antaranya ialah telefon pintar Mate 20.



Disebabkan ia dilancarkan beberapa minit lebih awal daripada Mate 20 Pro, Mate 20 ini layak diiktiraf sebagai peranti dengan Kirin 980 yang pertama. Selain itu, ia hadir dengan memori 6GB RAM serta simpanan dalaman 128GB.



Huawei juga memperkenalkan kad nanoSD bagi menggantikan mikroSD pada peranti ini. Dari segi bateri pula, ia dijana dengan bateri berkapasiti 4,000mAh, namun tidak menyokong sebarang pengecasan tanpa wayar.



Panel paparan peranti ini pula dilengkapi oleh skrin 6.53-inci LCD dengan nisbah 18.7:9 dan bertakuk kecil, seiras dengan takuk yang ada pada model Vivo V11.



Tiga lensa kamera utama model Mate 20 ini menggunakan gabungan 12MP lensa utama, 16MP lensa tangkapan luas serta 8MP lensa telefoto. Bagi kamera swafoto pula, peranti ini dilengkapi dengan lensa 24MP.



Antara ciri lain yang turut hadir bersama peranti ini ialah penggunaan USB Type-C, EMUI 9 berasaskan Android Pie, imbasan cap jari di belakang peranti serta masih lagi mengekalkan bicu audio 3.5mm.

Seperti biasa, kita perlu menunggu sedikit masa lagi untuk mendengar dari pihak Huawei Malaysia mengenai ketibaan peranti ini di negara ini.