HONOR 9X Lite Dengan GMS Akan Dilancarkan Di Malaysia Pada 27 Mei Ini

Hari ini HONOR Malaysia telah mengumumkan bahawa peranti terkini mereka HONOR 9X Lite akan hadir untuk pasaran tempatan 27 Mei ini. Model ini merupakan model ketiga selepas HONOR 9X dan 9X Pro dibawah siri 9X.

Dengan spesifikasi sedikit rendah dari 9X, ia hadir dengan rekaan bertakuk dalam saiz sedikit kecil 6.5 inci. Membezakannya juga adalah konfigurasi dwi-kamera di belakang yang memuatkan 48MP utama dan 2MP depth.

Peranti ini dijana oleh cip pemprosesan Kirin 710F yang sama seperti 9X. Selain itu, storan dalaman adalah bersaiz 128GB dan turut menyokong kad microSD.

Disebabkan takuk tersebut, peranti tidak mengekalkan rekaan kamera pop-up seperti 9X. Terdapat juga pengimbas cap jari pada bahagian belakang panel.

Menariknya, peranti ini akan hadir dengan Google Mobile Services (GMS) seperti HONOR 9X, tidak seperti 9X Pro dengan HMS. Pihak HONOR tidak mengumumkan lagi harga jualan, namun ia mungkin dipasarkan sekitar RM600-900 berikutan harga 9X Pro berharga RM999.