HMD Global Lancar Nokia 7 Plus Bagi Pasaran Malaysia Dengan Harga RM 1,699

HMD Global pada 10 April telah memperkenalkan peranti baru mereka, Nokia 7 Plus di The Bee, Publika, Kuala Lumpur. Nokia 7 Plus ini akan hadir dengan harga RM 1,699 dan akan mula dijual secara rasmi pada 20 April ini. Pelancaran peranti ini telah dilakukan oleh En. Vijay Thangavelu yang merupakan Pengurus Negara HMD Global bagi Malaysia dan Myanmar. Peranti terbaru Nokia ini akan menggunakan Android One setelah dipilih oleh pihak Google untuk menyertainya.



Menurut En. Vijay lagi, paparan skrin yang sebesar 6-inci dengan nisbah 18:9 FHD+ akan membolehkan lebih banyak paparan dilihat pada satu masa. Bagi memastikan peranti dapat beroperasi dengan kepantasan optimum, HMD telah memasang memori sebesar 4 GB RAM serta cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 660 Mobile Platform. Dengan menggunakan bateri 3900 mAh, ia dijangka mampu membekalkan kuasa kepada peranti ini selama dua hari.



Selain itu, menurut HMD Malaysia juga, Nokia 7 Plus ini mampu menghasilkan gambar yang cantik dengan sokongan optik ZEISS 12 MP + 13 MP bagi kamera utama. Kamera hadapan yang juga menggunakan optik ZEISS 16 MP pula mampu untuk meningkatkan sensitivi cahaya bagi mendapatkan kualiti gambar swafoto yang sempurna. Dari segi kualiti video pula, peranti ini dilengkapi dengan tiga mikrofon yang dipasang bagi membolehkan rakaman audio pada 360 darjah selain mempu merakam video dengan kualiti 4K.



Berkenaan dengan penyertaan Nokia 7 Plus pada Android One, ia akan memberikan pengalaman perisian yang berkualiti tinggi daripada Google. Peranti yang menyertai Android One juga akan menikmati kemaskini keselamatan secara bulanan pada setiap bulan sehingga paling kurang dua tahun, seperti yang dikatakan oleh En. Vijay. Dengan harga pasaran yang dicadangkan sebanyak RM 1,699, pengguna boleh mendapatkan Nokia 7 Plus dengan dua pilihan warna iaitu Hitam/Tembaga dan Putih/Tembaga di gerai pengedar Nokia di seluruh negara. Anda juga berpeluang mendapatkan kotak hadiah yang mengandungi tripod Bluetooth, lensa 'fish eye' lebar dan mikro yang bernilai RM 300 selagi stok masih ada.