Pereka permainan video legenda dari Jepun, Hideo Kojima, mengumumkan pada Khamis bahawa beliau telah menjalin kerjasaama dengan Xbox milik Microsoft untuk projek terbaharunya selepas pembangunan permainan berkenaan bagi konsol PlayStation dibatalkan oleh Sony.
Kojima, yang menghasilkan francais perisikan tentera perintis “Metal Gear”, elemen kunci kejayaan PlayStation sejak era 1990-an sebelum ini sedang mengusahakan projek baharu bertajuk “Physint“.
Walau bagaimanapun, “pada pertengahan Jun tahun ini, kami secara tidak disangka-sangka menerima notis daripada PlayStation Studios bahawa mereka membatalkan projek Physint”, kata pengatur cara berusia 63 tahun itu menerusi satu hantaran di X.
Pihak PlayStation tidak memberikan alasan khusus atas pembatalan tersebut dan hanya menyatakan di platform X pada Khamis:
“Selepas pertimbangan yang teliti, kami telah membuat keputusan sukar untuk berundur daripada bekerjasama dengan Kojima Productions bagi projek Physint.”
“Kami menghabiskan masa tiga bulan lalu mencari rakan kongsi baharu tanpa henti,” kata Kojima, sambil menambah bahawa Xbox dan studionya berkongsi “visi yang sama”.
Permainan berunsur pasca-apokaliptik karya Kojima, “Death Stranding 2”, pernah dianggap sebagai calon utama di Game Awards di Los Angeles tahun lalu, manakala “Physint” diiklankan sebagai kemunculan semula beliau ke akar umbi genre permainan perisikan.
“Pembangunan Physint, tajuk aksi-perisikan yang mematrikkan penanda aras genre kami, masih diteruskan dan bakal melangkah ke hadapan,” kata Kojima.
Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang indikasi mengenai tarikh pelancaran, mahupun mengesahkan sama ada permainan tersebut akan menjadi hak eksklusif untuk konsol Xbox sahaja. – AFP
{suggest}
