Guna WiFi Dalam Penerbangan AirAsia Melalui ROKKI

Anda kini boleh berhibur, melayari internet dan menghantar mesej dengan terbang bersama AirAsia ROKKI.


AirAsia telah melancarkan laman portal terbaru yang dikenali sebagai ROKKI. Ia merupakan sebuah platfom terbaru bagi menghubungkan internet kepada para penumpang yang menggunakan penerbangan AirAsia.

Jadi, sekiranya anda sedang menunggu untuk menaiki penerbangan AirAsia, anda bolehlah layari ROKKI di dalam pesawat yang anda naiki nanti.

Cara mengakses ROKKI




Apabila anda sudah berada di dalam pesawat AirAsia yang menyediakan servis ROKKI, hidupkan sambungan Wi-Fi pada peranti pintar anda dan hubungkannya kepada FREE AirAsia Rokki WIFI.

Kapsyen: Hanya hidupkan Wi-Fi peranti pintar anda apabila simbol tali pinggang keselamatan penerbangan telah dipadamkan sahaja.


Aktifkan aplikasi pelayar sesawang yang anda gunakan, taip rokki.com pada ruang URL pelayar tersebut. Seterusnya anda akan dapati portal ROKKI sudah pun boleh diakses secara percuma pada peranti pintar anda.



Di dalam portal ROKKI, penumpang penerbangan pesawat AirAsia boleh mengaksesnya secara percuma bagi menghiburkan diri mereka sepanjang penerbangan dengan menonton video-video seperti rancangan TV, filem pendek atau video pelancongan.

Malah anda juga boleh mengakses kandungan yang sesuai untuk kanak-kanak, bermain permainan video, membaca majalah, e-book atau mendengar pelbagai genre muzik dan podcast yang boleh dipilih secara percuma.

Hantar mesej dan layari internet


Bagi mereka yang langsung tidak boleh lekang menghantar mesej menggunakan aplikasi sembang popular seperti WhatsApp atau WeChat pula, anda bolehlah membeli tawaran Chats Plan yang berharga RM9.00.

Kapsyen: Anda boleh menghantar mesej menggunakan aplikasi sembang ini ketika di dalam penerbangan AirAsia dengan membeli pelan yang ditawarkan ini.


Atau jika anda ingin melayari internet seperti melayari laman sesawang selain ROKKI, anda bolehlah membeli tawaran Internet Plan yang berharga dari RM18.00 menerusi laman ROKKI.



Buat masa ini, tidak semua pesawat dan penerbangan AirAsia yang boleh mengakses portal ROKKI. Tetapi pihak AirAsia memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha menyediakan perkhidmatan Wi-Fi pada kesemua penerbangan mereka secara berperingkat.

Jadi, jika anda sedang menunggu penerbangan AirAsia anda ketika ini, jangan lupa layari portal ROKKI.com di dalam penerbangan anda nanti.

P/s: Perkhidmatan Wi-Fi pada penerbangan AirAsia hanya disediakan bagi durasi penerbangan yang lebih daripada 4jam sahaja. Ketika ini sebanyak 53 pesawat AirAsia Malaysia sudah boleh mengakses portal ROKKI.

Manakala 2 pada pesawat AirAsia Indonesia, 6 pesawat AirAsia Philippines dan 2 lagi pada pesawat AirAsia India.

 

Berkaitan