Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan seorang usahawan telah didenda sebanyak RM80,000 kerana menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui, iaitu SMS Blaster yang telah menyebabkan gangguan serius bagi perkhidmatan rangkaian dan selular milik syarikat telekomunikasi tempatan.
Menurut MCMC, modus operandi yang dijalankan oleh usahawan berkenaan adalah dengan memasang peranti SMS Blaster bersama antena di unit-unit kondominium yang bersebelahan dengan lebuh raya.
SMS Blaster tersebut telah diubah suai menjadi stesen transceiver asas yang palsu (fake BTS) dan apabila peranti orang awam melalui berdekatannya, perkhidmatan rangkaian dan selular 4G akan terganggu serta turun ke perkhidmatan 2G setelah bersambung dengan rangkaian fake BTS itu.
Kesannya, pengguna mula menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) iklan seperti perkhidmatan pinjaman wang, aktiviti perjudian dan sebagainya.
Selain itu, MCMC berkata aktiviti haram itu turut mengakibatkan masalah panggilan terputus serta kualiti perkhidmatan internet yang kurang memuaskan.
Sumber: MCMC
