Google Tawar Bayaran Tinggi Untuk Samsung Gunakan Google Assistant Dan Bukannya Bixby

Bixby merupakan pembantu maya dalam peranti pintar Samsung. Walau bagaimanapun ramai pengguna kurang suka dengannya dan lebih memilih Google Assistant yang lebih mesra dan juga boleh didapati pada lebih banyak platform.

Melalui laporan dari Bloomberg, Google dikatakan sedang tawar menawar untuk mempromosikan penggunaan servis dan perhidmatan Google dalam peranti Samsung.

Bukan sahaja pengalaman pelayar web akan lebih mengutamakan Google, akan tetapi keutamaan juga turut diberikan kepada Google Assistant dan Play Store untuk menggantikan Bixby serta Galaxy Store.

Sudah tentu Google dilihat lebih mempunyai kelebihan dalam 'perjanjian' ini dalam jangka masa panjang. Ditambah lagi Samsung merupakan antara pengeluar terbesar dari segi unit jualan peranti pintar di seluruh dunia.

Namun, untuk kepentingan Samsung, sudah tentu mereka tidak bersenang-lenang untuk melepaskan sebahagian dari ekosistem mereka ini.

Menurut wakil dari syarikat Samsung, buat masa ini mereka mahu komited untuk terus menggunakan ekosistem mereka.

Pada masa yang sama, mahu kekal bekerjasama dengan Google untuk menawarkan pengalaman peranti pintar yang terbaik untuk pengguna mereka.

Sebagai makluman, Google membayar Apple berbillion USD setiap tahun supaya Apple mengekalkan enjian carian Google pada pelayar Safari mereka.

Sumber: Bloomberg