9 Februari bakal menjadi tarikh keramat untuk Samsung melancarkan siri Galaxy S22 yang terbaharu dibarisi Galaxy S22, Galaxy S22+, dan Galaxy S22 Ultra.
Sebelum ini sudah diperlihat mengenai spesifikasi namun hanya setakat khabar angin sepoi-sepoi bahasa.
Kali ini, lebih banyak maklumat mengenai spesifikasi yang lebih terperinci datangnya dari WinFuture yang mempunyai rekod jejak sangat baik dalam arena pelondehan spesifikasi telefon yang belum lagi dilancarkan.
Secara keseluruhan, rekaan adalah sama sahaja dengan siri Galaxy S21 sebelum ini, cuma ada sedikit perubahan pada versi Ultranya yang mempunyai rekaan baharu.
Samsung Galaxy S22
Galaxy S22 seperti biasa akan menjadi model paling terkecil dan asas untuk siri S22 ini. Apa yang sedikit mengecewakan untuk Galaxy S22 adalah saiz baterinya lebih kecil dari S21 tahun lepas.
Bermula dengan paparan, ia akan dilengkapi dengan skrin 6.1 inci 1080p Dynamic AMOLED 2X 120Hz, kecerahan maksimum serta perlindungan kaca Gorilla Glass Victus.
Tahun ini siri S22 akan menggunakan cip terbaharu sama ada dari Exynos 2200 atau Snapdragon 8 Gen 1, dipadankan dengan 8GB RAM.
Sistem kamera juga lebih hebat. Galaxy S22 akan disertakan dengan kamera 50MP utama (f/1.8, OIS, 1/1.56″, 1.0 µm), 12MP sudut lebar (f/2.2, 1/2.55″, 1.44 µm), dan 10MP telefoto 3x zum optikal (f/2.4, OIS, 1/3.94″, 1.0 µm). Untuk swafoto pula adalah unit dari 10MP (f/2.2, 1/3.24″, 1.22 µm).
Dengan bateri berkapasiti 3,700mAh, ia lebih kecil dari 4,000mAh pada S21 tahun lepas. Bermakna kita mungkin perlu mengharapkan pengoptimasian secukupnya dari cip pemprosesan serta sistem operasi untuk bateri cukup bertahan seharian.
Sementara kelajuan pengecasan pantas masih belum diketahui
Untuk dimensi Galaxy S22 ini, saiz fizikalnya adalah 146 x 70.6 x 7.6 mm dan 167g. Ini bermakna ia sedikit lebih kecil dari S21, mungkin ini punca baterinya menjadi lebih kecil.
Harga yang dicadangkan untuk S22 adalah €849 (RM3,972) untuk pasaran Eropah.
Samsung Galaxy S22+
Model pertengahan antara S22 dan S22 Ultra serta varian lebih besar dari S22 biasa, Galaxy S22+ dilengkapi dengan paparan lebih luas serta bateri lebih besar.
Skrinnya berukuran 6.6 inci 1080p Dynamic AMOLED 2x 120Hz dengan maksimum kecerahan 1,750 nits dan Gorilla Glass Victus.
Konfigurasi kamera dan cip pemprosesan pula adalah sama sahaja dengan Galaxy S22 biasa.
Untuk kapasiti bateri bersaiz 4,500mAh dan ini adalah merupakan saiz yang sama dimuatkan pada S21+ tahun lepas.
Sementara fizikal pula berdimensi 157.4 x 75.8 x 7.64 mm dengan berat 195g. Jika diikutkan ukuran ini, S22+ sedikit lebih kecil dan lebih ringan dari S21+ sebelum ini.
Untuk harga pasaran Eropah, S22+ akan dijual bermula €1,049 (RM4910).
Samsung Galaxy S22 Ultra
Model paling penting dalam siri S22 adalah S22 Ultra. Rekaannya sedikit berbeza kerana kawasan kamera belakang sudah tiada modul khas, sebaliknya rata sahaja.
Paparannya lebih premium dan lebih besar dengan 6.8 inci Dynamic AMOLED 2X 1440p.
Panelnya juga datang dari 1Hz-120Hz adaptif, kecerahan maksimum 1750 nits dan Gorilla Glass Victus.
Sistem kameranya pula berbeza dengan S22 dan S22+ di mana ia menggunakan 108MP utama (f/1.8, OIS), 12MP sudut lebar (f/2.2, 1/2.55″, 1.4 µm, AF), 10MP telefoto 3x zum optikal (f/2.4, 1/3.52″, 1.12 µm, OIS) dan 10MP (f/2.4, 1/3.52″, 1.12 µm, OIS), dan satu lagi 10MP (f/4.9, 1/3.52″, 1.12 µm, OIS).
Kamera swafoto juga lebih beresolusi tinggi dengan unit 40MP (1/2.8″, 0.7µm, AF).
Untuk saiz bateri adalah sama dengan S21 Ultra sebelum ini iaitu 5,000mAh. S22 Ultra juga akan dimuatkan dengan S-Pen terbina.
Dimensi fizikal adalah 163.3 x 77.9 x 8.9 mm dengan berat 227g, lebih kurang sahaja dengan S21 Ultra tahun lepas.
Harga jualan rasmi untuk Galaxy S22 Ultra adalah bermula dari €1,249(RM5846) untuk pasaran Eropah.
Sumber: WinFuture
Baca juga: