Terkini, Samsung telah mengumumkan ISOCELL GN1 iaitu sebuah sensor kamera baharu untuk digunakan dalam peranti pintar. Sensor ini merupakan sensor 50MP dan mempunyai saiz pixel sebesar 1.2 micron.
Buat pertama kalinya, ISOCELL GN1 ini merupakan sensor pertama dari Samsung yang menawarkan teknologi Dual Pixel dan juga Tetracell. Sebelum-sebelum ini sensor yang digunakan dalam kamera peranti pintar hanya terbatas dari segi pemilihan teknologi sama ada auto-fokus (Dual Pixel) ataupun gabungan pixel (Tetracell/Nonacell).
Jadi, ini sudah tentu berita gembira terutamanya untuk peranti Samsung kerana pada S20 Ultra terdapat masalah pemfokusan yang agak perlahan dek ketiadaan teknologi Dual Pixel ini. Samsung mengatakan sensor ini memfokuskan gabungan antara auto-fokus yang setaraf kamera DSLR dan juga prestasi ketika cahaya malap.
Dengan menggunakan teknologi Tetracell, ia menggabungkan 4 pixel menjadi 1 pixel besar menjadikan saiz meningkat kepada 2.4 micron. Peningkatan ini membolehkan sensitiviti sensor 4x kali lebih tinggi dalam bentuk 12.5MP.
Antara teknologi lain adalah ISOCELL GN1 hadir dengan Smart-ISO, HDR masa nyata dan EIS berasaskan gyroscope. Untuk rakaman video, sensor ini mampu merakam sehingga 8K 30fps maksimum.
Sensor ini sudah pun mula dibangunkan secara pukal bermula bulan ini dan berkemungkinan kita akan melihat sensor ini digunakan pada peranti pintar tahun ini juga.
Sumber: Samsung