Fungsi Navigasi Motosikal Untuk Google Maps Diperkenalkan Secara Rasmi Di Malaysia

Mod navigasi motosikal untuk Google Maps akhirnya diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada 28 Jun yang lalu.  Fungsi ini akan membantu penunggang motosikal di negara untuk mendapatkan arah jalan dan tempoh anggaran masa yang terpantas untuk tiba ke destinasi yang dituju.



Bagaimanapun, fungsi ini sebenarnya tiba agak lewat bagi pengguna Google Maps Malaysia. Untuk pengetahuan pembaca, mod navigasi motosikal ini telah pun diperkenalkan untuk pengguna di Indonesia kira-kira tiga bulan yang lepas. Fungsi ini boleh diaktifkan dengan memilih di antara pilihan mod navigasi yang sedia ada sebelum ini iaitu kenderaan empat roda, pengangkutan awam dan berjalan kaki.

Dengan adanya mod navigasi terbaru ini, penunggang motosikal akan mendapat anggaran masa perjalanan yang lebih tepat berbanding sebelum ini. Ini kerana sebelum ini, mereka perlu menggunakan mod navigasi kenderaan empat roda yang mana pada keadaan trafik sesak, penunggang motosikal selalunya boleh bergerak dengan lebih pantas berbanding kereta.

Bagi menggunakan fungsi ini, pengguna peranti mudah alih perlu memuat turun kemaskini terbaru untuk aplikasi Google Maps melalui Google Playstore dan Apple App Store. Kemaskini ini sudah tersedia buat peranti Android dan iOS bermula semalam.

https://youtu.be/u6LLbomWV9I