Facebook, Twitter dan Youtube Dilaporkan Akan Dapat Diakses Semula Di Hainan, China Tidak Lama Lagi

Seperti yang diketahui ramai, China telah mengenakan sekatan kepada beberapa laman sesawang yang berasal dari negara barat terutamanya Amerika Syarikat seperti Facebook dan Twitter daripada diakses dari dalam negara berkenaan.

Bagaimanapun, ia mungkin berubah bagi para pelancong yang melancong ke sebuah pulau peranginan popular mereka iaitu Hainan tidak lama lagi. Ini kerana terdapat satu laporan bahawa kerajaan China bercadang untuk mengkaji semula kesesuaian polisi berkenaan sekatan akses kepada laman sesawang tertentu kepada pengguna di kepulauan tersebut.

Kepulauan Hainan yang mempunyai saiz sebesar negara Belgium terkenal sebagai sebuah tempat pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong selain daripada Beijing dan Guangzhou. Ia juga turut dikenali sebagai Hawaii di Timur oleh penduduk dunia.

Kerajaan China bercadang untuk menjadikan Hainan sebagai kawasan bebas cukai menjelang tahun 2020. Bagi menarik lebih ramai pelancong, mereka berpendapat bahawa sekatan akses kepada laman-laman sesawang utama berkenaan perlu dikaji semula.



Pada ketika ini, kerajaan China cuma bercadang untuk menarik sekatan terhadap laman Facebook, Twitter dan Youtube sahaja terlebih dahulu. Ini kerana laman berkenaan merupakan laman yang mempunyai pengguna aktif harian tertinggi di seluruh dunia pada ketika ini.

Menurut laporan, laman berkenaan boleh diakses oleh pengguna di dua bandar utama di kepulauan tersebut iaitu Haikou dan Sanya. Namun, ia masih belum lagi dapat dipastikan samada penduduk tempatan akan dapat menikmati kemudahan yang sama atau tidak.

Bagaimanapun, kiriman berkenaan rancangan berkenaan telah dibawa keluar daripada laman rasmi kerajaan China pada hari yang sama. Mungkin kita akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini dalam masa terdekat terutama kepada mereka yang bercadang untuk melancong ke kepulauan Hainan pada masa hadapan.

Sumber