Facebook Sedang Menguji Fungsi Yang Menggabungkan Notifikasi Dari Facebook, Messenger, Dan Instagram

Sebagai pengguna telefon pintar, Facebook, Messenger dan Instagram merupakan aplikasi yang sering kita gunakan seharian, betul?

Ketiga-tiga aplikasi berkenaan merupakan medium media sosial paling popular saat ini dan ia juga dimiliki oleh syarikat yang sama.

Selama anda menggunakan ketiga-tiga aplikasi tersebut, apa yang anda harapkan ketika menggunakannya?

Pasti anda mahukan aplikasi-aplikasi itu digunakan secara mudah dan pantas.

Terkini, Facebook dikatakan sedang menguji fungsi baru untuk aplikasi telefon pintar mereka.

Mereka membawakan paparan notifikasi Messenger dan Instagram pada aplikasi Facebook.

Oleh kerana ia sedang dalam ujian, hanya sebilangan kecil pengguna sahaja menerima fungsi tersebut.

Fungsi ini pertama kali dilihat oleh pengguna Facebook, Mari Smith dan ia juga telah disahkan oleh pihak Facebook sendiri.
"Kami sedang menjalankan satu ujian kecil yang bakal memudahkan seseorang berhubung dengan orang atau perkara yang mereka sukai. Kami mencari cara untuk membantu pengguna bertukar antara akaun Facebook, Messenger dan Instagram dengan lebih mudah."

Apa yang boleh kita lihat pada fungsi ini adalah gabungan notifikasi untuk 3 aplikasi pada ikon yang terdapat dibahagian penjuru atas aplikasi Facebook.



Apabila ditekan, ia akan memaparkan notifikasi untuk Messenger dan Instagram yang mana bulatan merah bernombor itu menandakan jumlah notifikasi yang belum dilihat pengguna.

Pengguna hanya perlu menekan salah satu notifikasi dan seterusnya aplikasi pilihan akan terus dibuka.

Adakah anda antara pengguna bertuah yang diberi peluang untuk menikmati ujian ini? Jika ya bolehlah kongsikan diruangan komen.
Sumber: Tech Crunch