Cip Apple A12X Menandakan Permulaan Era MacBook Dengan Cip ARM Pada Masa Akan Datang?

Sewaktu Apple memperkenalkan iPad Pro pada 30 Oktober lepas, pemerhati industri mula memberikan perhatian terhadap cip A12X yang memacu peranti mudah alih Apple tersebut. Ini kerana jika mengikut trend Apple pada masa lepas, mereka selalu mempelbagaikan sumber bahan komponen mereka dan cuba mengelak dari membeli dari saingan terdekat mereka.

Apa itu ARM?

ARM merupakan salah satu keluarga di dalam CPU yang menekankan tentang senibina RISC (Reduced Instruction Set Computer) yang dikatakan lebih efisen dan kecil berbanding CISC (Complex Instruction Set Computer). Peranti seperti iPhone dan telefon pintar lain mengambil kelebihan RISC dalam menghasilkan rekaan CPU untuk peranti mereka.

Yang terbaru, laman Geekbench telah mengeluarkan hasil penanda aras untuk cip A12X yang terdapat di dalam iPad Pro (2018). Jika dibandingkan dengan peranti MacBook Pro (2018), angka tersebut tidak jauh berbeza.



Namun perbandingan terus tidak adil kerana kedua-dua peranti tersebut menggunakan sistem operasi yang berlainan di mana MacBook Pro menggunakan macOS yang lebih menjurus kepada aplikasi-aplikasi kompleks dan berat dan iPad Pro menggunakan iOS yang lebih ringan dan mesra tenaga.

Namun jika Apple satu hari nanti mahu melihat calon untuk menggantikan cip IntelĀ® untuk siri MacBook mereka, cip A12X mungkin boleh menjadi perintis jalan untuk cip ARM digunakan untuk siri komputer riba mereka.