Sijil peperiksaan awam yang diterima waktu sekolah sebenarnya penting bagi sesetengah urusan. Terutamanya apabila membuat permohonan pekerjaan dan menjalani temuduga.
Bagaimanapun, mungkin ada di antara anda yang telah kehilangan sijil-sijil penting ini berikutan dimakan anai-anai, hilang, rosak dan sebagainya. Kini, sijil-sijil tersebut boleh didapatkan semula dengan melakukan permohonan salinan sijil keputusan peperiksaan secara dalam talian.
Perlu diketahui, bayaran sebanyak RM30 diperlukan untuk proses permohonan. Tambahan RM10 pula dikenakan bagi penghantaran sijil melalui Pos Laju.
Jika anda ingin membuat permohonan, berikut disertakan beberapa langkah mudah yang perlu dilakukan.
Cara mohon salinan sijil keputusan peperiksaan
1. Pertamanya, buka laman web e-Lembaga Peperiksaan atau muat turun aplikasi melalui Google Play Store atau Apple App Store. Setelah itu, daftar akaun serta sahkan proses pendaftaran melalui e-mel terlebih dahulu. Kemudian, ikut langkah seterusnya di bawah.
2. Log masuk aplikasi dan di bahagian menu utama, pilih “Salinan Keputusan” dan tekan “Tambah”. Di bahagian butiran calon, pilih “Jenis Peperiksaan”. Sebagai contoh, saya memilih salinan keputusan SPM dan tekan “Cari”.
3. Di langkah seterusnya, pilih tahun peperiksaan pada bahagian “Butiran Peperiksaan”.
4. Tatal ke bawah dan semak butiran penerima. Di bahagian butiran penghantaran, pilih kaedah penghantaran sama ada – Ambil Sendiri (Kaunter LP Putrajaya) atau melalui Pos Laju. Jika menggunakan Pos Laju, tambahan RM10 diperlukan untuk tujuan penghantaran.
5. Setelah selesai, tandakan pada pengesahan dan perakuan pemohon. Kemudian tekan “Mohon” dan “Hantar”.
6. Di bahagian tetingkap pembayaran, buat pilihan pembayaran dan tekan “Proceed”.
7. Setelah selesai membuat pembayaran, satu tetingkap akan dipaparkan dan tekan pada “Cetak” untuk menyimpan maklumat pembayaran.
Simpan resit rasmi yang dikeluarkan sebagai rujukan untuk masa hadapan.
Selesai. Anda juga boleh membuat semakan status permohonan melalui halaman utama aplikasi dan klik “Semak Status”.
Itu sahaja tips pada kali ini. Semoga bermanfaat. Tinggalkan komen di platform media sosial kami jika ada sebarang cadangan atau penambahbaikan.