Canon Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan set penciptaan kandungan baharu yang terdiri daripada kamera bingkai penuh EOS R6 V dan lensa RF20-50mm f/4L IS USM PZ. EOS R6 V dibina berasaskan prestasi hibrid EOS R6 Mark III namun telah dioptimumkan sepenuhnya untuk penghasilan video profesional.
Antara naik taraf utama yang disertakan termasuklah kipas penyejuk terbina bagi rakaman video yang lebih lama serta soket tripod menegak khas bagi memudahkan rakaman kandungan untuk media sosial.

Kamera ini dilengkapi sensor CMOS bingkai penuh 32.5 megapiksel yang menyokong rakaman 7K Open Gate, membolehkan pengguna memanfaatkan seluruh kawasan sensor untuk fleksibiliti suntingan format melintang atau menegak.

Melengkapi kamera tersebut, lensa RF20-50mm f/4L IS USM PZ merupakan lensa siri-L gred profesional pertama Canon yang hadir dengan fungsi Power Zoom terbina. Lensa ini menawarkan julat zum yang versatil daripada sudut lebar 20mm sehingga 50mm dengan apertur malar f/4 untuk pendedahan cahaya yang konsisten.
Kelebihan utama lensa ini adalah reka bentuk fizikalnya yang tidak berubah panjang ketika zum dilakukan, sekali gus memudahkan penggunaan pada sistem gimbal atau rig tanpa perlu melakukan pengimbangan semula.

Pengguna juga boleh mengawal kelajuan zum melalui tuas pada kamera atau aplikasi Camera Connect untuk hasil transisi yang lebih sinematik.
Dari segi kestabilan imej, gandingan EOS R6 V dan lensa baharu ini menawarkan sistem penstabilan imej (IS) sehingga 8.0 stop apabila digunakan bersama.
Kamera ini turut menyokong mod Subject Tracking IS yang mengambil kira kedudukan subjek semasa penstabilan dilakukan.
Bagi memenuhi keperluan aliran kerja filem termaju, EOS R6 V menyokong Canon Log 2/3, profil Custom Picture, monitor bentuk gelombang (waveform), serta rakaman audio 4-saluran.

Kehadiran kipas penyejuk pada badan kamera membolehkan rakaman dalam format 7K Open Gate MP4 dilakukan tiga kali lebih lama berbanding model sebelumnya, menjadikannya ideal untuk rakaman acara langsung atau temu bual yang panjang.
Canon turut memperkenalkan alat kawalan jauh wayarles BR-E2 dan Tripod Grip HG-200TBR bagi memudahkan tugasan swafoto serta rakaman jarak jauh.
Kamera ini juga mesra pengguna dengan adanya butang rakaman di bahagian hadapan serta lampu indikator (tally lamp) untuk memudahkan pencipta kandungan mengetahui status rakaman secara visual.
{suggest}
