kemas kini 3/10/2024: Aplikasi MyJPJ TIDAK memerlukan akaun MyDigital ID untuk log masuk. Namun, ia masih boleh diguna sebagai salah satu kaedah log masuk MyJPJ. Sekiranya anda mahu daftar MyDigital ID, ikuti langkah INI untuk pendaftaran.
Artikel asal:
Baru-baru ini, Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi rakyat Malaysia pertama yang memiliki MyDigital ID.
Buat pengetahuan anda, menteri dalam negeri pada ketika itu mengatakan bahawa kerajaan akan mula melaksanakan Identiti Digital Nasional sepenuhnya pada tahun 2024.
Tambahan lagi, ia juga dikatakan adalah sebagai langkah untuk mengelakkan penipuan dalam talian yang mana kesnya di Malaysia agak tinggi dari tahun ke tahun.
Bagaimanapun, perkara ini menjadi kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia. Baik yang tidak faham apa sebenarnya MyDigital ID dan juga ada golongan yang mengaitkan dengan konspirasi sebagainya.
Jadi, di sini kami akan menerangkan secara ringkas apa itu MyDigital ID serta fungsi dan tujuannya dilaksanakan di Malaysia.
{suggest}
Apa Yang Dimaksudkan Dengan MyDigital ID?
MyDigital ID adalah sistem pengenalan diri dalam talian yang sah dan selamat. Bermakna, kalau kita berada di alam digital atau internet, pengesahan identiti adalah menggunakan MyDigital ID. Sementara MyKad pula digunakan sebagai indentifikasi dalam dunia fizikal.
MIMOS, agensi pelaksana program ini mengatakan MyDigital ID merujuk kepada pangkalan data kerajaan yang dipercayai dan selamat. Sama seperti MyKad.
MyDigital ID menggunakan MyKad dan Pangkalan Data Kerajaan sebagai rujukan pengesahan tanpa menyimpan sebarang data peribadi untuk tujuan transaksi.
Kenapa Perlu Ada MyDigital ID?
Seperti yang dinyatakan, MyDigital ID diperkenalkan adalah untuk tujuan pengesahan diri apabila kita berada di dalam talian (online).
Antara kelebihan apabila MyDigital ID dilaksanakan adalah:
- Transaksi dalam talian lebih selamat, pantas dan mudah
- Pengguna lebih mudah log masuk tunggal untuk pelbagai aplikasi
- Mudah akses ke perkhidmatan kerajaan dalam talian seperti LHDN, JPJ, PDRM, JPN, SPRM
- Pengesahan diri yang sah dan selamat
- Menghapuskan pelbagai jenis kaedah pengenalan diri dalam talian
- Mengurangkan risiko penipuan dalam talian
Apa Yang Kerajaan Boleh Janji Kepada Rakyat Berkaitan Data?
Maknanya, kerajaan ambil data pengguna ke?
Perkara ini yang paling menjadi bualan hangat dalam talian, iaitu isu berkaitan data. Menurut MIMOS, MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data pengguna. Malah, mereka juga tidak mempunyai pelayan (server) untuk menyimpan data pengguna. Sebaliknya, hanya untuk memproses sahaja.
MyDigital ID hanyalah sebagai “satu tempat” untuk pengesahan bahawa anda adalah pemilik sebenar MyKad anda apabila berada di dalam talian.
Bermakna, apabila seseorang ingin mendaftar MyDigital ID, pengguna perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad dan juga cap jari. Kemudian, satu sijil pengesahan bakal diberikan dan disimpan dalam peranti pengguna.
Namun, MyDigital ID hanyalah untuk pengesahan sahaja dan tidak menyimpan data atau cap jari pengguna.
Bercakap lagi tentang peranti, ia mirip aplikasi perbankan. Apabila kita menggunakan aplikasi perbankan, kita akan pautkan akaun ke sebuah peranti utama yang kita percaya (trusted device).
Sama juga seperti MyDigital ID. Satu ID untuk satu peranti.
Tambahan lagi, ia seperti juga apabila pengguna menggunakan Apple Pay atau Google Pay atau Samsung Pay. Tiada maklumat kad yang disimpan dalam aplikasi.
Aplikasi MyDigital ID tidak menyimpan apa-apa maklumat peribadi pengguna seperti nama pengguna kata laluan, cap jari dan lain-lain.
Bagaimanapun, andai kata peranti anda hilang, anda boleh batalkan (revoke) MyDigital ID di peranti lama itu di kiosk dan membuat pengesahan semula. Ini sama juga sekiranya anda mahu menukar peranti baharu.
Buat masa sekarang, MIMOS berkata kiosk ini masih lagi terhad. Akan tetapi, ia akan diperluaskan lagi di banyak lokasi khususnya di kawasan luar bandar juga.
Adakah Wajib Untuk Rakyat Malaysia Guna?
Mengikut perancangan, rakyat Malaysia perlu mendaftar MyDigital ID bagi urusan-urusan di dalam negara nanti.
Namun, ia tidaklah secepat yang mungkin kerana MIMOS berkata bermula 1 Januari 2024, kakitangan dan pegawai kerajaan bakal mendaftar.
Bagi orang awam, ia bakal bermula Julai 2024. Pun begitu, jika anda mahu mendaftar sekarang, sudah boleh dilakukan. Cumanya, belum ada banyak perkhidmatan yang menyokongnya lagi.