BNM Adakan Sidang Media Secara Maya Buat Pertama Kali

Pertama kali dalam sejarah, Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan sidang media secara maya sempena Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sidang akhbar tersebut disiarkan secara eksklusif oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi platform media sosialnya serta di Bernama TV menerusi Astro di saluran 502.



Laporan Tahunan BNM 2019 memperincikan operasi bank pusat pada 2019 dan dihasilkan untuk menjangkau khalayak ramai supaya mereka dapat mengetahui dan memahami dengan lebih mendalam mengenai mandat dan pelbagai fungsi BNM.


Dalam pada itu, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus turut menasihati rakyat Malaysia supaya mematuhi PKP serta memberikan jaminan mengenai ekonomi negara dan keupayaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang ada.

Menurutnya lagi, semakin cepat Malaysia dapat merekodkan graf yang mendatar bagi jangkitan Covid-19, semakin pantas negara dapat mencapai pemulihan ekonomi.

Sumber: BERNAMA